Selaras perkembangan industri geosains negara, kerajaan harap jumlah ahli geologi terus bertambah – NRES
Kerajaan berharap jumlah 3,023 ahli geologi berdaftar dengan Lembaga Ahli Geologi Malaysia (LAGM) pada masa ini akan terus bertambah selaras peningkatan permintaan perkhidmatan geologi profesional dan perkembangan industri geosains negara.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berkata, Majlis Mineral Negara Kedua yang diadakan pada 8 Mei 2023 memutuskan syarat kelayakan penyediaan dan perakuan laporan carigali serta penjelajahan mineral hanya dibenarkan kepada ahli geologi profesional berdaftar, ahli geologi asing berdaftar, pengamal berdaftar atau jurutera dengan perakuan amalan.
Katanya, keputusan ini turut diperakui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-80 diadakan pada 12 September 2023.
“Malaysia adalah antara negara yang ahli geologinya bertaraf profesional,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Ahli Geologi Sedunia, hari ini.
Kenyataan itu berkata, masih tidak banyak negara mengiktiraf ahli geologi sebagai satu bidang ikhtisas atau profesional.
“Negara yang mengiktiraf ahli geologi sebagai profesional melalui akta Parlimen termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Itali, Sepanyol, Jepun dan Taiwan,” katanya.
Sementara itu, sempena Hari Ahli Geologi Sedunia dengan tema ‘Geologi: Menjana Ekonomi, Meraikan Warisan Demi Kesejahteraan Rakyat’, NRES meluncurkan program pembangunan berorientasikan rakyat berasaskan bidang geologi.
Tambahnya, program itu termasuk Pelan Pembangunan Geopark Negara 2021-2023, Pelan Pelaksanaan Geopark Negara, SOP Perlombongan Non-Radioactive Rare Earth Element (NR-REE), sistem amaran tanah runtuh berkaitan bencana geologi dan keputusan Majlis Mineral Negara Kedua adalah antara aspirasi NRES yang dicapai.
“Selain itu penubuhan Pusat Bencana Geologi Negara (PBGN), Pelan Pengurusan Bencana Geologi Negara, projek perintis NR-REE di Labis, aspirasi bagi menambah bilangan geopark kebangsaan dan UNESCO Geopark sedia ada serta perlombongan hijau antara agenda kini di NRES,” katanya.