Umum

Umat Islam perlu rujuk ahli agama bertauliah, hindari ajaran sesat – Mufti Pahang

Umat Islam di negara ini perlu melindungi diri, keluarga dan masyarakat daripada sebarang bentuk ancaman ajaran atau fahaman yang menyeleweng atau sesat, kata Mufti Pahang, Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim.

Beliau berkata, umat Islam perlu merujuk kepada ahli-ahli agama bertauliah dan berautoriti sekiranya terdapat sebarang kekeliruan serta ajaran yang bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Jabatan Mufti negeri Pahang menjunjung titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah yang mengingatkan umat Islam di negeri ini agar menghindari apa juga bentuk ajaran menyeleweng atau sesat dengan berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Masyarakat perlu berpegang teguh kepada pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah yang berteraskan kepada pegangan akidah Ahlussunah wal Jamaah huraian Imam Abu Hassan al-Asy’ari r.h (Asyairah) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi r.h (Maturidiyah), pegangan fiqh mazhab Syafie dalam pengamalan seharian (namun menghormati 3 mazhab lain Mazhab Maliki, Hanafi dan Hanbali), dan tasawuf Imam Ghazali r.h dan Imam Junaid al-Baghdadi r.h.,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya akan sentiasa bekerjasama dengan semua pihak dan memantau sebarang bentuk ajaran atau fahaman yang mencurigakan agar dapat dibendung dan ditangani dengan sebaik-baiknya demi kesucian akidah umat Islam di negeri itu.

“Jabatan Mufti negeri Pahang menyeru agar masyarakat tidak membiarkan diri mereka terperangkap dalam jaringan ajaran sesat,” katanya.

Related Articles

Back to top button