Nasional

Hentikan polemik perkauman, tindakan menggugat sensiviti masyarakat – Menteri

Semua pihak dinasihat berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan polemik dan mengambil sebarang tindakan yang menggugat sensitiviti masyarakat berbilang bangsa.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, adalah menjadi kewajipan rakyat Malaysia yang bertanggungjawab untuk terus mempertahankan keamanan dan keharmonian negara dengan tidak melakukan perbuatan provokasi serta keganasan yang akan mengakibatkan konflik dan kekacauan.

Beliau berkata, walaupun kementerian itu tiada kuasa atau peruntukan khas seperti akta untuk mengambil tindakan daripada segi perundangan, pihaknya melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) berperanan penting membantu mengurus isu perpaduan.

“Antara mekanisme pengurusan isu perpaduan yang sedang dilaksanakan JPNIN adalah pemantauan isu perpaduan pada peringkat akar umbi melalui sistem E-Sepakat.

“Sistem E-Sepakat adalah mekanisme dalaman JPNINu ntuk gerak kerja pengesanan, pemantauan dan pelaporan isu perpaduan secara digital bagi menggantikan kaedah manual.

“Penggunaan sistem ini membabitkan peranan pengguna dalam kalangan pegawai perpaduan di peringkat daerah, negeri dan ibu pejabat secara menyeluruh,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Aaron berkata, melalui sistem terbabit, maklumat turut dikongsi bersama rakan strategik kementerian seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Katanya, mekanisme lain yang digunakan ketika ini adalah ‘Dashboard Analitik Perpaduan’, yang menyokong sistem E-Sepakat.

Tambah beliau, ia berfungsi dalam meningkatkan lagi kecekapan gerak kerja pengurusan isu keharmonian masyarakat dalam sistem E-Sepakat melalui pemetaan kawasan berisiko tinggi dan panas (hot-spot) yang mampu mengganggu gugat keharmonian antara kaum dan agama.

“Pada masa sama, ia membantu menambah baik pemantauan tahap dan iklim perhubungan antara kaum. Ia bertindak sebagai amaran awal terhadap sesuatu isu atau konflik yang dilaporkan melalui analisis jangkaan.

“Selain itu, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) turut menggunakan mediator komuniti sebagai pendamai masyarakat. Ia memberi tumpuan kepada mengurus kes pertikaian pada peringkat komuniti khususnya dalam hal membabitkan jiran tetangga.

“Terakhir, kami bertindak melalui Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) iaitu sebuah jawatankuasa membabitkan pemimpin agama di Malaysia,” katanya.

Aaron berkata, ia berperanan memantapkan iklim perhubungan yang baik dalam kalangan pemimpin dan penganut pelbagai agama berteraskan semangat saling menghormati dan bekerjasama pada semua peringkat.

Katanya, jawatankuasa itu turut membantu menyelesaikan konflik atau salah faham berkaitan isu agama melalui kaedah intervensi dan mediasi.

“Justeru, atas faktor ketiadaan punca kuasa penguatkuasaan, kementerian ini hanya memberikan fokus daripada segi pemantauan isu perpaduan dan pelaksanaan program intervensi di kawasan berisiko tinggi bagi meningkatkan interaksi serta integrasi antara rakyat berbilang bangsa dan agama.

“Apabila muncul isu atau polemik 3R (agama, raja, kaum), bukanlah KPN tidak terbabit, tetapi kita tidak ada kuasa penguatkuasaan. Hanya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Komunikasi ada kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pesalah melalui Akta Hasutan, Akta Mesin dan Cetak, Akta Polis, Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Related Articles

Back to top button