Semasa

Keselamatan di sekitar perairan Kunak terjamin, penduduk tidak perlu bimbang – Yusuf Apdal

Orang ramai diingatkan agar tidak perlu berasa bimbang berhubung kejadian tembakan membabitkan dua anggota Maritim Malaysia di perairan Kunak pada Ahad.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Yusof Apdal berkata, susulan kejadian itu pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah meningkatkan kawalan keselamatan di seluruh perairan Kunak.

“Kawalan keselamatan terutama di kawasan perairan akan dipantau rapi terutama menjelang sambutan Aidilfitri ini. Kita nasihatkan agar masyarakat di Parlimen Lahad Datu terutama di daerah Kunak supaya jangan panik.

“Tidak perlu bimbang, semua perlu bertenang kerana pihak keselamatan sentiasa bersiap siaga memastikan keselamatan terjaga, terutama pada musim perayaan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam insiden semalam, Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel, 45, yang juga Ketua Bot Banggi 48 mengalami kecederaan di mata kiri, manakala Laskar Kanan Maritim Prayrie De Cuella Jimin, 35, cedera di kedua-dua belah tangan.

Pengarah Maritim Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama (M) Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik, berkata ketika kejadian, anggota Maritim Malaysia melihat sebuah bot yang mencurigakan sebelum cuba menghampirinya.

Bagaimanapun, suspek yang berada dalam bot berwarna biru itu tiba-tiba melepaskan tembakan ke arah bot Maritim Malaysia menyebabkan dua anggota cedera akibat terkena tembakan, sebelum berlaku tembakan balas, namun bot terbabit sempat melarikan diri.

BACA LAGI: Menteri KDN hargai pengorbanan anggota Maritim Malaysia

Pihak berkuasa Esscom dilapor telah membentuk pasukan khas bagi memburu suspek.

Sementara itu Mohd Yusof yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu turut menegaskan, orang ramai perlu meletakkan kepercayaan kepada pasukan keselamatan bagi memastikan seluruh perairan Lahad Datu dan Kunak tidak diceroboh.

Pasukan keselamatan jelasnya sentiasa bersiapsiaga menjaga perairan negara daripada sebarang ancaman luar.

Related Articles

Back to top button