Kupang tercemar: N9 kaji kesan pendapatan terhadap nelayan – Menteri Besar
Kerajaan Negeri Sembilan memberi komitmen untuk menyelesaikan segera isu pencemaran di perairan Port Dickson yang menjejaskan industri kupang di kawasan itu.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya juga akan melihat kesan insiden itu kepada nelayan terbabit.
“Kita jangka ia tidak menjejaskan industri kupang di negeri itu kerana kegiatan tersebut dijalankan secara hiliran untuk nelayan menambah pendapatan mereka.
“Tetapi kita akan melihat kesannya walaupun bilangan (nelayan jual kupang) tak ramai, kita nak lihat kesan pendapatan kepada nelayan pantai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian dan Program Walkabout Mantai Rayo 2024 di Sikamat pada Ahad.
Pada 4 April lalu, Jabatan Perikanan Malaysia pada 4 April memaklumkan sampel air dan kupang di perairan Port Dickson dicemari biotoksin serta alga spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia berbahaya.
Susulan itu, Singapura menyekat bekalan dan penjualan kupang dari Port Dickson.
Sementara itu, Aminuddin memberi jaminan bekalan daging di negeri itu mencukupi untuk sambutan Aidilfitri.
Kerajaan negeri melalui kerjasama kementerian dan jabatan terbabit jelasnya mengambil inisiatif mengadakan pelbagai program seperti Program Mantai dan Jualan Rahmah, bagi menawarkan barangan asas dengan harga berpatutan.
“Jualan-jualan ini membantu, ada jual ayam dan semua keperluan asas. Insya-Allah dalam harga yang cukup menarik, yang pastinya dinanti-nanti oleh masyarakat kerana mereka nak berjimat menjelang hari raya ini.
“Ini juga dapat membantu masyarakat menghadapi kenaikan harga barangan dan saya yakin barang lebih murah berbanding hari raya terdahulu,” tambahnya.
BACA LAGI: Aminuddin sarankan orang ramai elak sementara makan kupang dan kerangan
Program Mantai dianjurkan di 20 lokasi melibatkan 16 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menyediakan kira-kira 16,000 kilogram daging untuk masyarakat di negeri itu.
Tradisi Mantai lazimnya diadakan sehari sebelum Ramadan atau sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.