Semasa

MAPIM gesa pasukan pengaman di hantar ke Gaza, Tebing Barat

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mendesak dunia menghantar pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Gaza dan Tebing Barat.

Pengerusinya, Mohd Azmi Abdul Hamid melalui satu kenyataan pada Ahad mendesak perkara itu susulan genap enam bulan genosid dilakukan Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

“Israel telah menunjukkan kedegilannya malah penentangannya sejak resolusi tidak mengikat resolusi gencatan senjata segera diluluskan oleh Sidang Umum PBB ( UNGA ) dengan 153 negara menyokong pada 13 Disember 2023. Ini telah diabaikan oleh Israel.

“Ia telah melakukan kemungkinan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan. Tidak ada undang-undang dan konvensyen antarabangsa yang tidak dilanggar bukan sahaja terhadap rakyat Palestin tetapi juga serangan merentasi sempadan dan operasi pembunuhannya, untuk meluaskan medan perangnya bagi mencetuskan kemungkinan perang serantau,” tegasnya.

Tambahnya, pada Oktober 2023, keganasan Yahudi semakin meningkat susulan dokongan tentera Israel yang membenarkan serangan ke atas rumah-rumah kediaman warga Palestin di Tebing Barat.

Tindakan itu jelasnya merupakan misi oleh rejim itu bagi mengosongkan Gaza dan matlamat untuk membersihkan rakyat Palestin dari wilayah itu.

“Inilah yang Netanyahu dengan sekutu baratnya cuba melengkapkan pembunuhan beramai-ramai dan pemindahan paksa penduduk Gaza.

“Amerika Syarikat (AS ) dan Israel juga sedang memikirkan jangka masa untuk memindahkan seluruh penduduk keluar dari Gaza,” katanya.

BACA LAGI: Malaysia tambah sumbangan RM10 juta untuk rakyat Palestin melalui UNRWA

Justeru tambahnya, pasukan pengaman perlu dihantar ke Gaza dan masyarakat dunia tidak seharusnya membenarkan pemindahan paksa di Gaza mengulangi peristiwa Nakbah 1948.

“Walaupun kami menyokong inisiatif Flotilla Break the Gaza Siege yang kini sedang direncana oleh NGO antarabangsa, pasukan penjaga keamanan yang diberi mandat PBB adalah sangat diperlukan.

“Untuk melaksanakan gencatan senjata sepenuhnya, memecahkan sekatan Gaza, melindungi orang awam, membenarkan akses penuh kepada bantuan kemanusiaan dan memulakan proses pembinaan semula Gaza, keselamatan penuh mesti dijamin oleh agensi antarabangsa.

“Ini sahaja yang boleh menghalang negara pengganas Israel dihalang dari terus membunuh dan mendera rakyat Palestin di Gaza,” ujarnya melalui kenyataan tersebut.

Related Articles

Back to top button