Nasional

Op Selamat 22 tumpu kurangkan kemalangan ke tahap paling minimum di Aidilfitri

Op Selamat 22 yang bermula 8 hingga 13 April memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kadar kemalangan ke tahap paling minimum, serta memastikan aliran trafik lancar sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berharap Op Selamat dapat mendidik pengguna jalan raya lebih berhemah dalam membendung kes kemalangan maut.

“Masih mengekalkan tema yang sama, Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi. Kita punya rakan strategi iaitu Telekom Malaysia untuk Op Selamat Hari Raya Aidilfitri pada kali ini.

“Objektif utama kita adalah pendekatan berteraskan total enforcement dan delivery service yang masih dikekalkan bertujuan mendidik pengguna jalan raya agar lebih berhemah.

“Usaha ini bagi membendung peningkatan kemalangan, kematian, mengurus kelancaran lalu lintas, respons segera kepada kes menarik perhatian, mencegah kejadian pecah rumah dan meningkatkan rondaan di kawasan komuniti,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang lalu lintas bagi menjamin keselamatan jalan raya.

Tambah beliau, pengguna jalan raya juga perlu memastikan kenderaan digunakan berada pada tahap yang terbaik dengan melakukan pemeriksaan fizikal, selain pemandu juga dinasihatkan mendapatkan tidur yang cukup sebelum perjalanan.

“Tumpuan kempen ini diadakan adalah untuk mendidik. Yang pertama sekali sikap adalah salah satu elemen, kerana semua pengguna jalan raya hendaklah bertanggungjawab di antara satu sama lain. Itu sangat mustahak,” katanya.

Related Articles

Back to top button