ekonomi

Perdagangan borong runcit meningkat 5.5 peratus dengan nilai jualan RM141.1 bilion pada Februari 2024

Jumlah perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan sebanyak RM141.1 bilion, meningkat 5.5 peratus tahun ke tahun pada Februari 2024.

Walau bagaimanapun, bagi perbandingan bulanan, nilai jualan merekodkan pertumbuhan negatif bagi dua bulan berturut-turut iaitu -0.9 peratus berbanding Januari 2024.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan bagi perdagangan borong dan runcit pada Februari 2024 dipacu oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat 5.8 peratus atau RM3.4 bilion kepada RM61.5 bilion.

Beliau berkata, perdagangan borong juga berkembang dengan mencatatkan 5.2 peratus atau RM3.1 bilion kepada RM62.2 bilion, diikuti oleh kenderaan bermotor dengan pertumbuhan 5.4 peratus atau RM900 juta untuk berada pada RM17.4 bilion.

“Bagi perbandingan bulanan, pertumbuhan negatif iaitu -0.9 peratus berbanding bulan sebelumnya adalah disebabkan oleh perdagangan borong yang menurun 2.3 peratus, diikuti oleh subsektor kenderaan bermotor yang menguncup 1.4 peratus.

“Sebaliknya, subsektor perdagangan borong merekodkan pertumbuhan positif sebanyak 0.7 peratus pada bulan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Melihat kepada prestasi mengikut subsektor, Mohd Uzir berkata, pertumbuhan 5.8 peratus tahun ke tahun bagi perdagangan runcit disumbangkan oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang tumbuh 6.7 peratus atau RM1.5 bilion kepada RM23.6 bilion.

Beliau berkata, kumpulan lain dalam subsektor ini turut merekodkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit di kedai pengkhususan (9.5 peratus), jualan runcit makanan, minuman & tembakau (8.0 peratus), jualan runcit barangan isi rumah (4.0 peratus), jualan runcit bahan api kenderaan (3.4 peratus), jualan runcit barangan kesenian & rekreasi (5.4 peratus), jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (1.0 peratus) dan jualan runcit di gerai & pasar (3.3 peratus).

“Bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini menokok 0.7 peratus, dipacu oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan (1.7 peratus), jualan runcit di kedai pengkhususan (1.1 peratus) dan jualan runcit bahan api kenderaan (0.7 peratus),” katanya.

Mengulas lanjut mengenai subsektor perdagangan borong, Mohd Uzir berkata, kenaikan 5.2 peratus tahun ke tahun pada Februari disokong oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat RM1.6 bilion atau 7.4 peratus kepada RM23.7 bilion.

Katanya, ini diikuti oleh jualan borong makanan, minuman & tembakau (4.0 peratus), jualan borong barangan isi rumah (3.7 peratus), jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (5.6 peratus), perdagangan borong tanpa pengkhususan (5.4 peratus), jualan borong jentera, peralatan dan bekalan (1.7 peratus) dan jual borong berdasarkan kontrak atau yuran (0.8 peratus).

“Walau bagaimanapun, bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong jatuh 2.3 peratus, terutamanya disumbangkan oleh kejatuhan pada jualan borong makanan, minuman dan tembakau (-5.6 peratus), lain-lain pengkhususan jualan borong (-1.3 peratus), jualan borong jentera, peralatan dan bekalan (-4.3 peratus) serta jualan borong barangan isi rumah (-1.3 peratus),” katanya.

Related Articles

Back to top button