Pilihanraya

PH Selangor tubuh jawatankuasa hadapi PRK Kuala Kubu Baharu

Pakatan Harapan (PH) Selangor akan menubuhkan beberapa jawatankuasa utama bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu

Setiausaha PH Selangor, Dr Mohd Khairuddin Othman, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi PH yang bermesyuarat pada Ahad berhubung PRK itu.

Jelasnya, jawatankuasa itu akan bergerak secara rasmi bermula dari hari penamaan calon hingga hari pengundian pada 11 Mei depan.

“PH Selangor menetapkan penubuhan jawatankuasa utama sebagai persediaan PH mengekalkan kerusi dengan EXCO Kerajaan Negeri . Ahli Dewan Negeri Kinrara, Ng Sze Han dilantik sebagai Pengarah PRK Kuala Kubu Baharu.

“Ketetapan ini dibuat selepas Suruhanjaya Pilihan Raya pada Khamis lalu mengumumkan hari penamaan calon pada 27 April dan hari pengundian (11 Mei).

“Sze Han akan dibantu Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin; Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof dan saya sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong, susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Lee, 58 yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013, meninggal dunia selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lalu.

Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK Kuala Kubu Baharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

BACA LAGI: AMK rancang program dekati anak muda di PRK Kuala Kubu Baharu

Dalam pada itu, katanya sempena minggu terakhir Ramadan, PH Selangor mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam khususnya di Selangor dan seluruh negara.

“Semoga perjalanan pulang ke kampung masing-masing berjalan dengan selamat dan dilindungi Allah SWT,” katanya.

SPR menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK Kuala Kubu Baharu masing-masing pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei (Selasa).

Related Articles

Back to top button