Nasional

SKMM akan ambil tindakan terhadap pihak cetus ketegangan isu terkait logo kasut mirip kalimah Allah

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengingatkan orang ramai tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan media sosial yang menyentuh sensitiviti isu kaum, agama dan raja (3R) susulan isu logo kasut yang didakwa mirip kalimah Allah.

Dalam satu kenyataan, SKMM menegaskan ia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sekiranya ada pihak cuba mengambil kesempatan terhadap isu tersebut.

“Ini termasuk termasuk membuat hantaran dan komen yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.

“Orang ramai diingatkan agar tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan media sosial yang menyentuh sensitiviti 3R sebaliknya laporkan kepada SKMM di pautan https://aduan.mcmc.gov.my dan polis untuk tindakan selanjutnya.

“Semua pihak perlu memberikan ruang kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkuasa untuk melakukan siasatan berhubung dakwaan ini,” katanya dalam kenyataan.

SKMM turut menggesa mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat di media sosial berhubung isu itu untuk terus melaporkannya kepada pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Terdahulu, isu itu tular di media sosial selepas seorang lelaki mendakwa bahawa sepasang kasut keluaran Vern’s yang dibeli buat isterinya mempunyai logo seakan-akan kalimah Allah di tapaknya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pula berkata pihak polis menerima lapan laporan di seluruh negara berkaitan isu tersebut.

Beliau berkata, satu kertas siasatan dibuka bagi menyiasat perkara itu di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Related Articles

Back to top button