‘Smart Lane’ diaktifkan, pastikan perjalanan balik kampung lancar
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengaktifkan ‘Smart Lane’ di sepanjang lebuh rayanya bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, laluan tersebut akan diaktifkan di 18 lokasi strategik.
Ia jelasnya sebagai usaha Kementerian Kerja Raya (KKR) dan syarikat konsesi lebuh raya itu melancarkan aliran trafik susulan pertambahan jumlah kenderaan di lebuh raya.
“Papan tanda elektronik pemberitahuan pengaktifan Smart Lane turut ditambah dan memasang lampu hijau berkelip di atas papan tanda sebagai indikasi laluan Smart Lane sedang diaktifkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Ketika ‘Smart Lane’ diaktifkan, lorong paling kiri sedia ada atau lorong kecemasan akan dibuka sebagai laluan tambahan yang boleh digunakan oleh kenderaan ringan, persendirian atau penumpang untuk sementara waktu sebelum diarahkan untuk masuk semula ke laluan utama lebuh raya.
Had laju yang ditetapkan di dalam ‘Smart Lane’ iaitu tidak melebihi 60km/j.
Tarikh dan masa untuk setiap lokasi ‘Smart Lane’ diaktifkan adalah berbeza mengikut keperluan dan pola trafik di lokasi terbabit.
Makluman terkini berkenaan lokasi dan waktu aktif ‘Smart Lane’ boleh didapati daripada hebahan di laman dan akaun rasmi media sosial PLUS atau terus saja hubungi PLUSLine di talian 1-800-88-0000.
Sementara itu PLUS dipetik laporan media menjangkakan angka pengguna trafik mencapai sekitar 2.1 juta pada waktu puncak iaitu peningkatan 15 peratus berbanding 1.8 juta pada hari-hari biasa.
PLUS menjangkakan waktu puncak trafik bagi musim perayaan kali ini adalah pada 5, 6, 8, 9, 12, 13, dan 14 April 2024.
Bagi memastikan perjalanan pengguna lebih lancar, selamat dan selesa, PLUS turut menghentikan sementara kerja-kerja di laluan utama dan tiada penutupan lorong antara 1 hingga 17 April 2024.
BACA LAGI: Tol percuma dua hari sempena Aidilfitri
Pihak PLUS juga bakal menempatkan kren dan trak tunda di lokasi terpilih bagi mempercepat proses pengalihan kenderaan yang kerosakan, larangan kenderaan berat, serta turut bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan dan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT).
Pengguna juga boleh merancang perjalanan dengan lebih mudah dengan merujuk jadual perjalanan digital melalui MyPLUS-TTA di Aplikasi PLUS.