Semasa

Kedudukan pasaran buruh dijangka terus positif – DOSM

Kadar pengangguran pada Februari mencatatkan bilangan penganggur yang lebih rendah iaitu 567,000 orang.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kedudukan tenaga buruh kekal stabil selaras dengan perkembangan aktiviti ekonomi semasa, merekodkan trend positif yang berterusan dalam bilangan penduduk bekerja.

“Bilangan tenaga buruh pada bulan itu terus merekodkan peningkatan bulan ke bulan, dengan pertambahan sebanyak 0.1 peratus kepada 17.07 juta orang berbanding 17.05 juta orang pada Januari.

“Kadar penyertaan tenaga buruh bulan Februari kekal pada 70.2 peratus seperti yang direkodkan pada bulan sebelumnya,“ katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Selain itu, Mohd Uzir berkata bilangan penduduk bekerja terus meningkat dengan kenaikan bulan ke bulan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.51 juta orang berbanding 16.48 juta orang pada Januari 2024.

Sebagai mengulas mengenai kedudukan guna tenaga, Mohd Uzir berkata, daripada jumlah penduduk bekerja pada Februari 2024, 75.2 peratus berada dalam kategori pekerja yang merekodkan sedikit peningkatan iaitu sebanyak 0.1 peratus kepada 12.41 juta berbanding 12.39 juta orangpada bulan sebelumnya.

Begitu juga penduduk bekerja sendiri, katanya berada pada trend meningkat, naik sebanyak 0.3 peratus kepada 3.02 juta orang berbanding bulan sebelumnya yang merekodkan 3.01 juta orang.

Mohd Uzir berkata sejajar dengan kedudukan ekonomi negara yang stabil, kebanyakan sektor ekonomi diunjurkan berkembang pada 2024, dengan sektor perkhidmatan dan pembuatan akan menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan keseluruhan.

“Di samping itu, permintaan yang semakin meningkat terhadap pekerjaan profesional dalam perkhidmatan perniagaan dan pentadbiran dapat dilihat susulan lebih banyak firma melancarkan platform e-dagang, menggunakan media sosial untuk pemasaran, meneroka analisis data untuk kecekapan, dan mengamalkan sistem automasi dan digital,“ katanya.

BACA LAGI: Ramanan tekad jayakan usaha perkasa ekonomi

Beliau turut menjangkakan, permintaan domestik yang kukuh, berikutan perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan pada musim perayaan akan datang, juga dijangka menyokong aktiviti pengambilan pekerja, katanya.

Oleh itu jelasnya, kedudukan pasaran buruh dijangka terus berkembang pada bulan-bulan berikutnya, disokong oleh permintaan yang berterusan terhadap guna tenaga ke arah ekonomi yang lebih baik.

Related Articles

Back to top button