Lebih 60 tan makanan diselamatkan melalui MySaveFood @ Ramadan 2024
Sebanyak 60,650 kilogram (kg) bersamaan 60.65 tan makanan dan minuman bernilai RM724,770 berjaya diselamatkan dari 139 bazar Ramadan pada Program MySaveFood @ Ramadan 2024.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, menerusi pencapaian itu, sebanyak 113,763kg pelepasan gas rumah hijau juga dapat dihalang.
“Pencapaian Program MySaveFood @ Ramadan 2024, dilaksanakan selama 26 hari hanya di 139 bazar Ramadan sahaja. Jumlah ini menghampiri 10 peratus daripada keseluruhan bazar Ramadan yang telah beroperasi.
“Ini membuktikan pelaksanaan program ini memberi kesan positif berpanjangan terhadap pengurangan pembaziran makanan dan minuman serta pelepasan gas rumah hijau dapat dihalang turut meningkat sekiranya dilaksanakan di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada tahun lalu, sebanyak 25,000kg makanan dan minuman bernilai RM300,000 diselamatkan di 55 bazar Ramadan yang terlibat melalui program sama.
MySaveFood @ Ramadan 2024 adalah satu sistem pengurusan berstrategi melalui usaha menyelamatkan lebihan makanan dan minuman yang masih berkeadaan baik serta tidak terjual di bazar Ramadan yang kemudiannya diagihkan kepada pelajar, rumah kebajikan, golongan gelandangan dan mereka yang memerlukan.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata, satu ekosistem pengurusan lebihan makanan sedang dirangka untuk memperkasa pelaksanaan program berkenaan pada tahun hadapan.
Selain menyelamatkan makanan yang masih elok, ujarnya, sisa makanan yang terbuang
turut mampu diuruskan secara sistematik untuk menjadi baja kompos yang menyumbang kepada manfaat lebih besar.
“Pihak KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) akan terus menyokong usaha murni ini dan berharap ia menjadi satu budaya yang dipraktikkan dalam skala yang lebih besar lagi pada tahun akan datang.
“Kejayaan program ini dilihat daripada jumlah pembaziran yang berjaya diselamatkan dan penglibatan anak muda dalam gerakan sukarelawan yang dapat membentuk nilai ihsan Masyarakat Madani,” katanya.