‘Melaka Explorace 2024’ beri impak besar sempena Tahun Melawat Melaka 2024 – Ab Rauf
Pertandingan mencari harta karun ‘Melaka Explorace 2024’ anjuran kerajaan negeri dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) nanti akan memberi tumpuan terhadap produk-produk pelancongan negeri, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata, kesan-kesan peninggalan sejarah di pelbagai destinasi setiap daerah di Melaka juga akan ditonjolkan dalam pertandingan itu nanti.
Dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi, beliau turut memberikan beberapa pandangan dan idea bagi memastikan penganjuran Melaka Explorace 2024 itu nanti benar-benar memberi impak kepada kerajaan negeri Melaka khususnya sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Saya juga mahu pihak penganjur menambah bilangan peserta, selain memfokuskan produk pelancongan negeri, kesan sejarah serta destinasi pelancongan di setiap daerah untuk menonjolkan keunikan yang terdapat di Melaka,” katanya.
Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan sempena penganjuran Melaka Explorace 2024 di Bilik Mesyuarat Tun Bijasura, Pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri pada Isnin.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Pengurus Besar, Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Sa’ari Basiron dan Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.
Kerajaan negeri sebelum ini memasukkan Melaka Explorace 2024 yang dijangka berlangsung pada bulan Jun atau Julai depan, dalam kalendar TMM2024.
Tiga kategori dibuka bagi pertandingan mencari harta karun berkenaan membabitkan awam, pengamal media dan agensi kerajaan negeri Melaka.