Global

Penduduk Palestin di Gaza hadapi kelaparan serius menjelang Aidilfitri

Menjelang Aidilfitri, penduduk Palestin di Gaza terus merayu bantuan kemanusiaan bagi meredakan keadaan yang terlalu buruk di wilayah terkepung itu termasuk kelaparan yang semakin serius.

Aidilfitri yang dijangka disambut di Gaza esok, sepatutnya menjadi perayaan menamatkan puasa pada Ramadan, namun tidak banyak yang menggembirakan rakyat Palestin ketika ini.

Seorang budak lelaki dilihat terhuyung-hayang di kem pelarian Gaza, sambil memeluk kotak kadbod bantuan, enam bulan selepas serangan Israel yang memusnahkan wilayah Palestin.

Dia dilihat bergelut membawa kotak kadbod itu yang diterimanya dari pusat pengedaran Pertubuhan Badan-Badan Bersatu (PBB) di bandar tengah Deir al-Balah, di mana orang ramai berbaris panjang bagi mendapatkan kotak mengandungi makanan dalam tin.

Sementara itu, Fayez Abdelhadi berkata, makanan tidak mencukupi dan dia tidak menerima sebarang kotak bantuan dalam dua bulan ini.

“Semalam kami mendapat kotak yang tidak cukup untuk saya atau anak-anak saya serta 18 orang lain yang bersama kami.

“Jika seorang mendapat sekotak setiap hari pun, ia tidak mencukupi,” kata Fayez Abdelhadi di kem itu.

Dia berkata, bantuan itu juga kekurangan barangan kebersihan asas seperti sabun dan pencuci, untuk menangani krisis air bersih dan penyakit berleluasa.

Umm Mohammed Hamad, seorang wanita yang terpaksa berpindah dari rumahnya di Beit Hanoun di utara Gaza, pula berkata, dia sudah tinggal di pusat perlindungan PBB selama hampir dua bulan.

“Kami tidak menerima sebarang kotak, tiada bantuan. Baru hari ini mereka mula mengedarkan kotak,” katanya.

Sejak bulan lalu, beberapa hospital juga melaporkan, kanak-kanak meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan dan kelaparan dan mengeluarkan amaran mengenai kematian lain yang boleh dicegah, namun berlaku kekurangan bekalan perubatan.

Di hospital Kamal Adwan di utara Gaza, Ketua Media Wissam al-Sekni berkata, penghantaran bantuan yang tiba semalam, tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan pesakit, khususnya ubat antibiotik bagi merawat kecederaan yang biasa berlaku di zon perang.

Namun, beliau berkata, kekurangan makanan yang pelbagai dan berkhasiat menjadi masalah terbesar.

“Kebanyakan kanak-kanak (di hospital) datang dengan kekurangan zat makanan, terutamanya bayi pramatang yang kekurangan zat makanan ibu,” kata Sekni.

Di wad bayi pula, seorang bayi berusia empat bulan, Assem al-Najjar tidak bertambah berat badan sejak dilahirkan dan memerlukan pembedahan jantung berlubang, yang dilihat mustahil dilakukan di Gaza ketika ini.

Minggu lalu, bantuan meningkat susulan tekanan antarabangsa terhadap Israel untuk membenarkan lebih banyak bantuan ke Gaza selepas serangan udara menyasarkan konvoi bantuan dan membunuh tujuh pekerja bantuan.

Sebagai tindak balas kepada tekanan itu, Israel berkata, mereka meluluskan pembukaan semula lintasan Erez ke utara Gaza dan penggunaan sementara pelabuhan Ashdod di selatan Israel untuk membawa masuk bekalan. – Buletin TV3

Related Articles

Back to top button