Semasa

Stok beras stabil, cukup untuk kegunaan semua rakyat – KPKM

Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bahawa bekalan beras negara di pasaran adalah mencukupi untuk keperluan rakyat Malaysia.

KPKM melalui satu kenyataan berkata, stok fizikal beras negara sehingga kini adalah sebanyak 1,096,964 tan metrik termasuk 290,000 tan metrik stok penimbal beras, iaitu jumlah tersebut adalah stabil dan mampu menampung keperluan bagi tempoh 5.48 bulan.

“Tambahan pula, jumlah stok fizikal beras negara berbanding jumlah penduduk ialah antara yang tertinggi dan terjamin di rantau ini,” menurut kenyataan KPKM.

Melalui kenyataan sama kementerian turut memaklumkan pengedaran stok beras putih tempatan (BPT) sedang giat dijalankan dan penurunan harga beras putih import (BPI) di antara RM2 hingga RM3, turut dilaksanakan bagi menampung keperluan pengguna.

Langkah itu selari dengan keputusan yang dimuktamadkan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), bulan lepas.

“Kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menjamin peningkatan pengeluaran beras tempatan khususnya melalui 12 Inisiatif Gelombang Padi.

“Antara yang dirangka adalah peluasan program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Ala Sekinchan, program penanaman padi lima musim untuk dua tahun dan inisiatif memperkukuh infrastruktur pengairan sawah,” ujarnya.

BACA LAGI: Malaysia mohon eksport tambahan 500,000 tan metrik beras dari India

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu pada 16 Jan, dilaporkan berkata Inisiatif Gelombang Padi digerakkan tahun ini bagi mengangkat industri padi dan beras negara ke tahap lebih cekap dan berdaya tahan.

Beliau dilaporkan berkata KPKM menggariskan 12 program untuk dilaksanakan menerusi inisiatif itu, yang merupakan ‘pencetus perubahan’ bagi transformasi industri padi dan beras negara antaranya memperkenalkan dasar baharu Insentif Benih Padi Sah (IBPS).

Related Articles

Back to top button