Sukan

Dua pasangan beregu lelaki negara, Aaron-Wooi Yik dan Izzudin-Sze Fei mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia

Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak berdepan masalah untuk melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China.

Pasangan nombor lima dunia itu hanya memerlukan masa 30 minit untuk menumbangkan wakil tuan rumah yang juga pilihan ketujuh, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi pada aksi suku akhir.

Aaron-Wooi Yik menampilkan aksi ‘kelas A’ apabila mendominasi permainan sejak awal dan memenangi set pertama dengan keputusan 21-14.

Mereka tidak memberikan peluang untuk lawan bangkit apabila terus beraksi cemerlang untuk menoktahkan kemenangan dalam perlawanan berkenaan menerusi keputusan 21-15 di set kedua.

Ini adalah kemenangan kedua berturut-turut Aaron-Wooi Yik ke atas Yu Chen-Xuan Yi selepas turut meraih keputusan sama di suku akhir Terbuka India, Januari lalu.

Manakala dalam lagi satu perlawanan, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei turut melangkah ke separuh akhir kejohanan yang sama.

Izzuddin-Sze Fei mencipta kebangkitan sensasi untuk menyingkirkan juara Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin pada aksi suku akhir kejohanan.

Selepas tewas set pertama 19-21, Izzuddin-Sze Fei nyata tidak goyah apabila bangkit untuk memenangi set kedua 21-19 sekali gus perlawanan ke set penentuan.

Aksi set penentuan berlangsung sengit dengan kedua-dua pasangan saling mengejar mata tetapi ketenangan Izzuddin-Sze Fei ketika mata penting menyaksikan mereka menoktahkan permainan dengan keputusan 21-19.

Kemenangan itu menyaksikan Izzuddin-Sze Fei menempah pertemuan dengan rakan sepasukan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bagi perebutan tiket ke final pada Sabtu.

Related Articles

Back to top button