Global

Menteri Agama, MAPIM kutuk serangan terhadap keluarga Ismail Haniyeh

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengutuk tindakan Israel membunuh ahli keluarga pemimpin umat Islam Palestin, Ismail Haniyeh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr. Mohd. Na’im Mokhtar melahirkan rasa amat dukacita atas tindakan tidak berperikemanusiaan dilakukan rejim zionis itu yang dilakukan ketika umat Islam menyambut Aidilfitri.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merakamkan ucapan takziah kepada Ismail Haniyeh.

“Semoga beliau terus tabah dengan ujian besar ini. Tentunya ia sama sekali tidak melemahkan semangat beliau untuk terus berjuang demi negara Palestin,” katanya.

Mohd. Na’im sementara itu meminta semua pihak terus berdoa semoga rakyat Palestin diberikan kekuatan dan kesabaran yang tinggi untuk berhadapan dengan Israel.

Media pada Khamis melaporkan, Tujuh anggota keluarga Ismail dilaporkan terkorban melibatkan tiga orang anak lelaki dan empat cucunya selepas diserang dari udara oleh tentera Israel pada Rabu.

Serangan tersebut menyasarkan sebuah kereta yang dinaiki ahli keluarga Ismail di kem pelarian Al-Shati berhampiran Bandar Gaza ketika mereka dalam perjalanan ke perayaan pada hari pertama Aidilfitri.

BACA LAGI: PM Anwar wakili suara majoriti rakyat dunia pertahan warga Palestin

Sementara itu, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) turut mengutuk pembunuhan terhadap ahli keluarga pemimpin Hamas itu.

“Genosid yang berterusan di Gaza ialah tindakan terkutuk dan kami menuntut ditamatkan segera kekejaman Israel yang terus berleluasa. Saya mengulangi dan menegaskan komitmen kami untuk berdiri teguh bersolidariti dengan Palestin sehingga pembebasan dicapai.

“Sukar untuk saya tidak menyuarakan perasaan benci saya dan sesungguhnya amat mengecam kebiadaban tentera pendudukan Zionis yang sewenang-wenangnya menyasarkan mereka yang bukan penempur,”kata Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid melalui satu kenyataan.

Mohd Azmi berkata, tindakan rejim Zionis menyasarkan pemimpin Hamas dan ahli keluarga mereka hanya akan menguatkan lagi tekad untuk memperjuangkan kebebasan serta hak semua rakyat Palestin dan umat Islam.

Related Articles

Back to top button