Negeri

Menteri Besar Kelantan ucap terima kasih kepada PM Anwar

Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia susulan penyaluran wang ihsan yang telah disalurkan pentadbiran Anwar kepada kerajaan negeri itu pada minggu lalu.

Nassuruddin dipetik laporan media berkata, pemberian wang ihsan tersebut membantu meringankan beban yang ditanggung kerajaan negeri dan pihaknya akan memanfaatkan wang ihsan itu untuk membayar emolumen sektor awam seperti yang dinyatakan oleh Kementerian Kewangan.

“Saya ucap terima kasih kepada perdana menteri sentiasa bantu Kelantan, bukan sahaja wang ihsan tetapi dalam perkara lain juga,” katanya dipetik.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan minggu lalu memaklumkan telah menyalurkan wang ihsan berjumlah RM172.3 juta kepada kerajaan Terengganu dan RM58.6 juta kepada Kelantan bagi membiayai komitmen emolumen kerajaan negeri masing-masing.

Kenyataan itu menegaskan kerajaan Madani sentiasa bersikap adil dan saksama dalam hal pemberian kepada semua kerajaan negeri, yang disalurkan secara serentak setiap bulan.

BACA LAGI: Kerajaan MADANI salur hampir RM1 bilion wang ihsan kepada Kelantan, Terengganu

Nassuruddin dipetik laporan itu turut mengakui Kelantan tidak di anaktirikan walaupun ditadbir pembangkang .

“Semua perkara boleh bincang dan perdana menteri beri jaminan bahawa beliau turut beri perhatian kepada Kelantan,” tambah beliau.

Related Articles

Back to top button