Global

Usaha Palestin sertai PBB terbantut, gagal capai konsensus

Usaha Palestin untuk menyertai Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) terbantut apabila Majlis Keselamatan PBB (UNSC) gagal mencapai konsensus berhubung keahliannya.

Jawatankuasa ad hoc UNSC yang terdiri daripada negara anggota Majlis itu, gagal mencapai persetujuan menyeluruh, yang menjadi syarat wajib bagi menerima keanggotaan mana-mana negara ke dalam badan dunia itu.

Kegagalan itu berkemungkinan membawa kepada undian lebih formal berhubung permohonan Palestin, yang mempunyai status pemerhati di PBB itu sejak 2012 dan melobi selama bertahun-tahun untuk keahlian penuh bagi mengiktiraf kewujudannya.

Sebarang permintaan untuk menjadi negara anggota PBB mesti terlebih dulu mendapat konsensus penuh UNSC dan kemudian disahkan dalam Perhimpunan Agung PBB (UNSC).

Terdahulu, Palestin menghidupkan semula permohonan menyertai PBB yang dikemukakan pada 2011, selepas tercetusnya serangan Israel, mendorong UNSC melancarkan proses semakan rasmi.

Duta Malta ke PBB, Vanessa Frazier, yang memegang jawatan Presiden berkata, tidak ada kesepakatan.

Bagaimanapun, katanya, dua pertiga daripada ahli memihak kepada menyokong keahlian penuh Palestin, tanpa menyatakan negara mana.

Pada dasarnya, 15 negara anggota UNSC, termasuk lima anggota tetap perlu meluluskan sebarang permohonan negara baharu, bagaimanapun lima anggota tetap, merangkumi sekutu Israel, Amerika Syarikat (AS), boleh membantah menggunakan kuasa veto.

Jawatankuasa ad hoc UNSC hanya boleh ke peringkat seterusnya jika menerima persetujuan semua ahli, yang membolehkan mana-mana ahli UNSC mengemukakan resolusi untuk mengundi mengenai perkara itu.

Menurut sumber diplomatik, undian boleh diadakan pada 18 April ini, yang diusulkan oleh Algeria, mewakili negara-negara Arab dalam UNSC.

Walaupun usul itu diyakini akan menerima sembilan daripada 15 undi yang diperlukan, pemerhati meramalkan AS akan menggunakan kuasa veto untuk membantah.

Washington berkata, PBB bukanlah tempat untuk membincangkan kenegaraan Palestin, sebaliknya menegaskan ia perlu dibincangkan dan dipersetujui oleh Israel serta Palestin.

Utusan Palestin ke PBB, Riyad Mansour berkata, mereka hanya mahu mengambil tempat yang berhak mereka duduki dalam kalangan masyarakat dunia. – AFP

Related Articles

Back to top button