Yang di-Pertuan Agong terima mengadap Duta Besar China ke Malaysia
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menerima mengadap Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing, hari ini.
Pertemuan bersama Seri Paduka Baginda adalah bagi membincangkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China serta isu-isu semasa berkaitan kedua-dua negara.
Menerusi kenyataan di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, ketika sesi mengadap itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan memberikan pandangan mengenai hala tuju hubungan diplomatik antara kedua-dua negara dan keperluan untuk mengenal pasti peluang kerjasama yang lebih luas.
China adalah salah satu kuasa ekonomi dunia yang penting dan rakan dagang yang besar kepada Malaysia.
Baginda berharap Malaysia menggunakan keupayaan uniknya untuk memanfaatkan dan meningkatkan jumlah dagangan, pertukaran teknologi serta turut mengembangkan eksportnya ke China.
Seri Paduka Baginda juga berharap lebih banyak syarikat China akan melabur di Malaysia, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat di negara ini.
Dalam pertemuan yang sama, Seri Paduka Baginda turut dipersembahkan dengan Hongqi L5, sebuah kereta keluaran China dan Seri Paduka Baginda merupakan pemilik pertama di dunia.
Kereta keluaran FAW Group yang menampilkan rekaan gaya retro ini digunakan oleh pemimpin tertinggi China bagi acara kenegaraan serta diplomatik.