ekonomi

Agong titah agar Malaysia guna keupayaan unik tingkat perdagangan dengan China

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan agar Malaysia menggunakan keupayaan uniknya untuk memanfaatkan dan meningkatkan jumlah dagangan, pertukaran teknologi serta turut mengembangkan eksportnya ke China.

Harapan itu dinyatakan baginda melalui satu hantaran yang dikongsikan melalui Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar setelah menerima menghadap Duta Besar China di Malaysia, Ouyang Yujing pada Jumaat.

“China adalah salah satu kuasa ekonomi dunia yang penting dan rakan dagang yang besar kepada Malaysia.

“Pertemuan bersama Seri Paduka Baginda adalah bagi membincangkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China serta isu-isu semasa berkaitan kedua-dua negara.

“Dalam sesi mengadap ini, Seri Paduka Baginda turut berkenan memberikan pandangan mengenai hala tuju hubungan diplomatik antara kedua-dua negara dan keperluan untuk mengenal pasti peluang kerjasama yang lebih luas,” kata hantaran itu.

Turut serta pada sesi menghadap itu adalah Presiden FAW Hongqi Global, Wang Lingyu dan tokoh perniagaan Tan Sri Lim Kok Thay dan Datuk Lim Chee Wah.

Dalam pertemuan yang sama, Seri Paduka Baginda turut dipersembahkan dengan Hongqi L5, sebuah kereta keluaran China sekaligus menjadikan Sultan Ibrahim sebagai pemilik pertama kenderaan itu di dunia.

Kereta keluaran FAW Group yang menampilkan rekaan gaya retro itu digunakan oleh pemimpin tertinggi China bagi acara kenegaraan serta diplomatik.

BACA LAGI: Premier Republik Rakyat China, Li Qiang akan berkunjung ke Malaysia

Melalui hantaran sama, Sultan Ibrahim turut menyatakan harapan agar syarikat China akan melabur di Malaysia, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat di negara ini.

Related Articles

Back to top button