Semasa

Jabatan Alam Sekitar pantau kualiti udara, air susulan kebakaran bahan kimia di Seremban

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pusat pengurusan sisa Cenviro Sdn Bhd (Kualiti Alam) memantau keadaan udara dan air di persekitarannya susulan kebakaran tempat simpanan bahan kimia berjadual di pusat berkenaan, pada Jumaat.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, pihaknya sudah ke tempat kejadian untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai insiden itu.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang menjalankan siasatan untuk menentukan punca kebakaran selepas menerima panggilan dari tempat kejadian.

“Api berjaya dikawal daripada merebak ke kawasan lain dan pihak kami masih menunggu jangkaan kerosakan daripada pihak Kualiti Alam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan tambahan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran.

“Kami mahu memberi kepastian bahawa pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri mengambil tanggungjawab untuk menangani kejadian ini dengan cekap dan berkesan.

“Kami masih menunggu laporan terperinci manakala pihak Kualiti Alam memantau keadaan udara dan air di persekitarannya,” katanya.

Terdahulu, tempat simpanan logistik sisa bahan kimia berjadual berdekatan syarikat pengurusan sisa di Bukit Pelanduk, Port Dickson (PD), musnah dalam kebakaran, pada Jumaat.

Berikutan kejadian itu, orang ramai tidak dibenarkan mendekati kawasan berkenaan.

Sementara itu, asap tebal dapat dilihat sehingga beberapa kilometer dari sekitar Sendayan.

Sementara itu, Cenviro merayu kepada masyarakat supaya tetap tenang ketika mereka berusaha mengekang api di pusat berkenaan.

“Pihak berkuasa yang berkaitan termasuk JBPM serta polis berada di tempat kejadian dan menguruskan situasi.

“Semua pekerja selamat dievakuasi ke tempat perjumpaan yang ditetapkan, dan orang awam dinasihatkan supaya tidak panik atau menyebarkan maklumat palsu di media sosial atau aplikasi pesanan,” katanya.

Pihak syarikat akan terus memberikan kemas kini sebaik sahaja maklumat baru tersedia dan maklumat lanjut atau pertanyaan, boleh menghubungi Ismawati Mohd Shah di +0193610602 atau emel [email protected] atau Amirul Syazwan Halim di +0192835803 atau emel [email protected].

Related Articles

Back to top button