Semasa

JPA gesa orang ramai jangan mudah percaya perkongsian mengelirukan, calar imej kerajaan

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menggesa orang ramai tidak mudah percaya dengan perkongsian mengelirukan yang cuba mencalar imej perkhidmatan awam dan kerajaan.

Gesaan itu dibuat sebagai merujuk kepada penularan rakaman video lama berdurasi 1.10 minit, dimuat naik semula sebuah portal yang dilihat seolah-olah mahu membawa sentimen negatif terhadap kerajaan.

“JPA mengambil serius terhadap sebarang cubaan melemahkan institusi perkhidmatan awam dengan memberi gambaran seolah-olah kerajaan tidak bertanggungjawab terhadap isu dan kebajikan pegawai awam di negara ini.

“JPA juga menyeru orang awam tidak mudah terpedaya dengan maklumat yang dikongsikan bagi tujuan mencalarkan imej kerajaan dan perkhidmatan awam sebagai barisan hadapan negara, dengan sentiasa mengamalkan ‘The G.R.E.A.T Civil Service dan H.E.M.A.T dalam sebarang tindakan yang mencerminkan kerajaan,” kata JPA.

JPA dalam satu kenyataan semalam menegaskan, rakaman video dimuatnaik menggunakan tajuk “Tanya pasal kuarters jer dh kene mcm tu depan KSN!!” adalah simulasi kesiapsiagaan anggota keselamatan, sekiranya berdepan dengan situasi serangan provokatif.

Antara lain ia mengandungi babak pertanyaan oleh pegawai awam kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) mengenai status permohonan kuarters kerajaan yang masih belum diluluskan, namun mereka dinafikan dan dihalang sekumpulan polis bantuan.

BACA LAGI: Fitnah terhadap KSN cubaan cetus sentimen buruk – Ceupacs

JPA berkata tindakan dengan memuat naik sebarang kandungan palsu yang mengundang salah faham dan mengelirukan masyarakat, boleh disabitkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 Seksyen 233 kepada yang terbabit.

Susulan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui satu kenyataan berkata, pihaknya akan memanggil pengendali akaun MyNewsHub bagi dirakam percakapan ekoran muat naik video tersebut yang boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengguna media sosial.

Related Articles

Back to top button