Politik

KEADILAN akan buat laporan polis terkait dakwaan royalti minyak masuk akaun parti

Parti KEADILAN Rakyat (PKR) akan membuat laporan polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) terhadap individu memuat naik hantaran mendakwa royalti petroleum ‘berbilion ringgit’ Kelantan dan Terengganu dimasukkan ke akaun parti itu.

Ketua Penerangan KEADILAN, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil menyifatkan dakwaan itu sebagai “fitnah amat jijik”.

“KEADILAN menerbitkan akaun setiap kali kongres diadakan dan akaun tersebut diaudit juruaudit bertauliah.

“Tidak pernah ada jumlah seperti dituduh itu masuk ke dalam akaun KEADILAN,” kata Menteri Komunikasi itu dalam satu hantaran di Facebook.

Fahmi turut berkongsi hantaran yang mendakwa Kelantan dan Terengganu tidak mendapat royalti petroleum kerana Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memasukkan ke akaun KEADILAN.

Terdahulu, Kementerian Kewangan mendedahkan hampir RM1 bilion wang ehsan (wang muhibah) disalurkan kepada kerajaan Kelantan dan Terengganu pimpinan Pas tahun lepas.

Ini terdiri daripada RM786 juta untuk Terengganu dan RM200 juta untuk Kelantan untuk petroleum yang diekstrak di luar pantai kedua-dua negeri.

Related Articles

Back to top button