Malaysia akan terus bersama Palestin – Fadhlina
Rakyat Malaysia akan sentiasa mendoakan kesejahteraan penduduk Palestin dan menyalurkan bantuan walaupun usaha membantu mereka masih belum memadai, tegas Fadhlina Sidek.
Ketua Wanita parti KEADILAN itu melalui satu hantaran di laman Facebooknya melahirkan rasa sedih susulan genosida berterusan dilakukan rejim Israel terhadap rakyat Palestin termasuk serangan di kem pelarian Shati di utara Gaza sewaktu umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidilfitri.
“Setiap hari tidak berhenti kematian, kesakitan, kedukaan dan penderitaan yang dilalui. Tak sanggup mengungkapkan betapa terseksanya batin kita menerima khabar perkembangan di sana.
“Sehinggakan sepanjang Ramadan dan pada sambutan Hari Raya Aidilfitri juga, genosid masih terus berlaku.
“Bersabarlah saudara-saudara sekalian. Rakyat Malaysia tetap bersama kalian, mendoakan, membantu sedaya mungkin, walau kami tahu usaha kami belum mencukupi,” katanya.
Serangan dilancarkan rejim Zionis di utara Gaza pada Rabu lalu itu mensasarkan keluarga pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh yang dalam perjalanan menziarahi keluarga mereka di kem tersebut.
Al Jazeera melalui laporanya berkata, tiga anak lelaki Ismail iaitu Hazem, Amir dan Mohammad serta sekurang-kurangnya tiga cucu, terbunuh akibat dibom rejim Zionis
Ia sekali gus menjadikan seramai 60 ahli keluarga Ismail, termasuk anak saudara terbunuh sejak peperangan bermula.
BACA LAGI: PM Anwar hubungi Ismail Haniyeh, sampaikan solidariti rakyat Malaysia
Mengulas mengenai serangan udara terbaharu itu, Fadhlina turut menzahirkan ucapan takziah kepada Ismail.
Menurut Menteri Pendidikan itu, Ketua Hamas berkenaan pernah menyampaikan salam dan doa buat seluruh warga pendidik dan pelajar atas keberanian menyatakan sikap berkaitan isu tersebut dengan penganjuran Minggu Solidariti Palestin di institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Sesungguhnya, ujian berat yang menimpa warga Palestin bukan hanya pada enam bulan mutakhir ini, tetapi sejak lebih tujuh dekad membuktikan kecekalan mereka menempuh ujian.
“Tujuh dekad dalam penindasan dan penjajahan, namun terus bertahan dari generasi ke generasi. Mereka sudah tidak punya apa-apa lagi, harta benda dirampas, rumah dibom, sekolah dihancurkan, gedung perniagaan dirobohkan,” ujarnya.
Fadhlina sementara itu menambah, serangan dilakukan rejim itu tidak akan menjadi penghalang untuk rakyat di Tanah Arab itu terus berjuang dan mempertahankan maruah, kehidupan sehingga mati syahid.