Negeri

PP sedia jadi pemangkin sektor elektronik, semikonduktor rantau ini – Ketua Menteri

Pulau Pinang bersedia menjadi pemangkin kepada negara bagi meningkatkan rantaian nilai cip sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan pilihan sektor elektronik serta semikonduktor di rantau ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang mampu menyumbang kepada pencapaian matlamat Malaysia seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Melalui satu hantaran di laman Facebooknya Chow berkata, Pulau Pinang yang digelar Lembah Silikon Timur, merupakan peneraju peringkat akhir proses pembuatan cip semikonduktor dalam negara dan rantau ini, manakala negeri itu turut menyumbang secara konsisten pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahunan Malaysia.

“Bagaimanapun, untuk Pulau Pinang menyumbang lebih jauh kepada pencapaian Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi, idea yang berani dan inovatif diperlukan bukan sahaja daripada firma asing tetapi dari akar umbi.

“Oleh itu, syarikat pemula teknologi tempatan yang mengasah kemahiran dalam reka bentuk litar bersepadu serta penyelidikan dan pembangunan mampu melonjakkan Malaysia lebih jauh dalam rantaian nilai,” katanya.

Beliau turut berkongsikan artikel bertajuk “Malaysian ‘Silicon Valley’ seeds homegrown chip startups”, terbitan Nikkei Asia yang menekankan bahawa masanya sudah tiba untuk Malaysia meneroka ke dalam reka bentuk cip.

BACA LAGI: PM Anwar yakin rakyat mampu realisasi pembangunan ekonomi negara

Selain Nikkei Asia, Forum Ekonomi Dunia (WEF) melalui satu hantaran di laman Facebooknya turut menyatakan potensi Malaysia terutama Pulau Pinang dalam industri semikonduktor.

Melalui laporan itu WEF berkata Malaysia, terutamanya Pulau Pinang, sedang muncul sebagai kuasa semikonduktor baharu, selepas negeri itu memperoleh pelaburan langsung asing (FDI) bernilai AS$12.8 bilion (AS$1 = RM4.76) tahun lepas.

Related Articles

Back to top button