Semasa

Raikan Syawal dengan beramal – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati seluruh umat Islam untuk meraikan Syawal dengan istiqamah dalam beramal dan tidak kembali kepada sikap lama yang ditinggalkan tatkala Ramadan.

Nasihat itu dititipkan Anwar melalui satu hantaran di laman X selepas menghadiri jamuan hari raya dan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Bandar Utama Batang Kali semalam.

Anwar tiba ke masjid itu pada 12.24 tengah hari, disambut bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad.

Turut mengiringi perdana menteri ialah EXCO Perumahan Borhan Aman Shah, dan Pegawai Daerah Hulu Selangor Yuhanas Auree Kamaruddin.

Anwar meluangkan masa beramah mesra dan berswafoto dengan tetamu sebelum menunaikan solat Jumaat bersama lebih 500 jemaah lain di masjid berkenaan.

Melalui hantaran itu, Anwar menjelaskan beliau mengambil kesempatan ini untuk menjalin ukhuwah bersama rakyat dan beramah mesra dengan warga di sini.

“Terima kasih atas sambutan yang begitu meriah dan hidangan juadah seperti ayam, sate, lemang dan rendang yang menyelerakan,” katanya.

BACA LAGI: Anwar dan Shehbaz Sharif bertukar-tukar ucapan hari raya melalui panggilan telefon

Sementara itu Saifuddin dipetik laporan media berkata jamuan anjuran Pejabat Menteri Besar dan pejabat penyelaras DUN Batang Kali diadakan bagi meraikan sambutan Aidilfitri bersama penduduk setempat.

“Kita mahu raikan penduduk sempena Aidilfitri dan menariknya mereka berpeluang bertemu dengan perdana menteri yang pertama kali hadir ke Batang Kali,” katanya.

Related Articles

Back to top button