ekonomi

AIM umum dana khas RM50 juta untuk perkasakan usahawan wanita India

Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memperuntukkan dana khas RM50 juta bagi memperkasakan usahawan wanita India menerusi program Prosperity Empowerment and A New Normal for Indian Women (PENN).

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata peruntukan yang menggunakan dana dalaman AIM itu memberi manfaat kepada lebih 7,100 Sahabat Usahawan India yang baru dan menjadikan jumlah penerima manfaat daripada Skim Pinjaman Ikhtiar AIM kepada 10,200 orang termasuk 3,100 Sahabat Usahawan sedia ada.

Jelasnya, inisiatif AIM itu selaras dengan usaha merealisasikan hasrat dan harapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu memastikan tidak ada rakyat tercicir dalam usaha pembangunanan negara.

“Saya yakin dengan kemampuan AIM bahawa program PENN ini akan melahirkan lebih ramai usahawan mikro masyarakat India yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan dan merancakkan ekonomi negara.

“Program ini juga merupakan satu lagi langkah untuk memajukan, memperkasakan dan menggemilangkan wanita India di negara ini seiring dengan gagasan Malaysia Madani,” katanya.

Ramanan sebelumnya berucap pada majlis pengumuman dana khas itu di ibu pejabat AIM di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM Datuk Seri Syed Hussain Syed Junid dan Pengarah Urusan AIM Mohamed Shamir Abdul Aziz.

Untuk rekod, AIM yang ditubuhkan sejak 37 tahun yang lalu, telah mengeluarkan pembiayaan sebanyak RM33.02 bilion kepada 968,321 peminjam, sekali gus telah mengeluarkan seramai 3.87 juta isi rumah dari kepompong kemiskinan.

BACA LAGI: KUSKOP beri jaminan bantu pemain industri PKS

Bagi tahun ini pula, sebanyak RM2.61 bilion diperuntukan untuk pembiayaan dengan jumlah Sahabat Usahawan seramai 317,339 orang.

Sementara itu sebagai mengulas mengenai dana khas itu Ramanan berkata, permohonan dibuka kepada mereka yang layak bermula 15 April 2024 di 124 Cawangan AIM di seluruh negara.

Related Articles

Back to top button