Azeem Fahmi bantu kuartet 4x100m lelaki Universiti Auburn raih emas
Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, terus cemerlang apabila membantu pasukannya merakamkan masa terpantas 38.64 saat untuk menggondol tempat pertama acara 4x100m Kejohanan Trek dan Padang, Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di The Tom Jones Memorial, Florida, pada Sabtu.
Kejayaan itu menyaksikan Azeem yang sedang menuntut di luar negara mengharumkan nama Universiti Auburn menerusi kuartet tersebut yang turut diperkuatkan oleh Favour Ashe, Dario Matau dan Kanyinsola Ajayi.
Mereka mengatasi Louisiana State University (LSU) dengan jurang 0.29s sementara University of Kentucky di tempat ketiga (38.96s).
Pelari berumur 20 tahun itu kemudiannya melakar 10.44s dalam 100m untuk menduduki tempat ke-22 dalam kalangan 75 peserta.
Ia secara tidak langsung meletakkannya sebagai pelari kedua terpantas 100m untuk Universiti Auburn.
Keputusan dilakar Muhammad Azeem merupakan kemenangan keduanya bersama kuartet Universiti Auburn dalam tempoh sebulan selepas mereka muncul juara dengan catatan masa 38.74s pada kejohanan Yellow Jacket Invitational di Georgia Tech, Georgia.