Konvensyen Khas 25 tahun KEADILAN 28 April ini
Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengadakan Konvensyen Khas 25 Tahun Keadilan pada 28 April ini sempena ulang tahun parti itu, kata Ketua Penerangan, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.
Menteri Komunikasi itu berkata, konvensyen tersebut akan berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam, Selangor diikuti malam sambutan 25 Tahun Keadilan pada 11 Mei di Sentul Depot, Kuala Lumpur.
“Malam Sambutan 25 Tahun Keadilan pada 11 Mei 2024 di Sentul Depot akan diadakan sepanjang hari dengan acara kemuncaknya Ucapan Amanat Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada sebelah malam,” menurutnya dalam kenyataan.
Beliau berkata, perkara itu dimuktamad dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR (MPP) yang berlangsung pada 25 Mac lalu.
Fahmi juga berkata,mesyuarat itu turut membincangkan isu nasional termasuk stoking tertera kalimah ALLAH.
“MPP berpendapat bahawa sebarang usaha penghinaan terhadap kesucian Islam sebagai agama rasmi negara adalah satu kesalahan besar dan bertentangan dengan perundangan negara.
“MPP mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan seumpama ini dan meminta agar pihak berwajib menjalankan siasatan dan mengenakan hukuman ke atas pelakunya jika terbukti bersalah,” katanya.