ekonomi

Lonjakan kos tenaga, makanan global 2024 berpotensi burukkan inflasi di Asia – Laporan Boao Forum

Terdapat kemungkinan berlaku lonjakan kos tenaga dan makanan global pada 2024 yang berpotensi memburukkan lagi inflasi di Asia, demikian menurut laporan Boao Forum for Asia: Asian Economic Outlook and Integration Progress Annual Report 2024, yang dikeluarkan baru-baru ini.

Menurut laporan itu harga komoditi global dijangka terus turun naik secara berterusan pada paras tinggi sepanjang 2024, dipengaruhi oleh situasi geopolitik dan keadaan cuaca melampau.

Dinamik harga komoditi adalah antara faktor yang mempengaruhi inflasi di rantau ini dan penurunan kadar inflasi pada 2023 sebahagian besarnya didorong oleh penurunan harga komoditi.

Forum Boao yang dimulakan oleh lebih 20 negara Asia dan Australia pada era 2000-an merupakan forum utama yang disertai para pemimpin kerajaan, perniagaan dan ahli akademik di Asia dan benua lain untuk berkongsi dan berbincang mengenai isu-isu serantau yang mendesak.

Memetik statistik Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), laporan itu menyatakan bahawa indeks harga komoditi antarabangsa memuncak pada Ogos 2022 dan kemudiannya selepas itu menurun secara perlahan-lahan.

Menurut laporan itu, sehingga November 2023, harga susut sebanyak 32 peratus berbanding tempoh kemuncaknya. Khususnya, indeks harga makanan turun sebanyak 9.0 peratus, dan indeks harga tenaga jatuh hampir 50 peratus.

Berkongsi nada yang sama, rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, keadaan cuaca melampau seperti kemarau boleh menjejaskan pengeluaran pertanian yang membawa kepada kekurangan bekalan makanan dan seterusnya kenaikan harga makanan.

Begitu juga ketegangan geopolitik, pertikaian perdagangan dan sekatan dagangan boleh menjejaskan bekalan dan pengedaran sumber tenaga yang membawa kepada peningkatan harga tenaga.

“Pemulihan ekonomi global yang berterusan dan peningkatan permintaan terhadap komoditi mungkin memburukkan lagi tekanan harga. Faktor-faktor ini perlu dipantau dengan teliti untuk menilai potensi impaknya terhadap kos tenaga dan makanan sepanjang tahun,” katanya memetika laporan Bernama.

Menurut laporan tahunan itu, faktor lain yang mempengaruhi inflasi tahun ini ialah dinamik kadar pertukaran mata wang Asia, yang mana penurunan berterusan nilai mata wang akan membawa kepada risiko inflasi diimport.

Laporan itu menyatakan bahawa pada 2024, dengan kemungkinan penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed AS), jurang kadar faedah antara ekonomi Asia dan Fed akan mengecil yang seterusnya dapat membantu mengurangkan tekanan penyusutan nilai mata wang Asia berbanding dolar AS.

“Sesetengah ekonomi mungkin mengalami peningkatan nilai mata wang mereka berbanding dolar AS. Ini bermanfaat untuk mengurangkan tekanan inflasi diimport di Asia,” katanya.

Bagaimanapun, memandangkan jangkaan penurunan kadar faedah oleh Fed semakin mengukuh, pasaran Asia mungkin akan menerima pusingan baharu aliran masuk modal, yang juga berkemungkinan pada satu tahap menaikkan harga di Asia.

Related Articles

Back to top button