PRK Kuala Kubu Baharu : PH teliti senarai calon, BN sokongan DAP pertahan kerusi
Calon Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu masih dalam perbincangan, kata Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo.
Gobind berkata pihaknya menerima banyak cadangan nama sebagai calon PH dalam PRK itu dan senarai nama berkenaan sedang dipertimbangkan.
“Perbincangan bersama PH Selangor telah diadakan dan soal berkenaan dengan calon itu akan diputuskan, kemudian akan dibawa ke peringkat pusat dengan jawatankuasa yang dianggotai lima pemimpin akan membuat keputusan.
“Kami berharap dapat memuktamadkan keputusan untuk meletakkan calon dalam PRK Kuala Kubu Baharu dalam masa terdekat dan akan diumumkan sebelum hari penamaan calon,” katanya dipetik laporan media.
Beliau ditemui selepas upacara sembahyang Hari Vaisakhi di Gurdwara Sahib Khalsa Land Camp Site di Kuala Kubu Baharu pada Sabtu.
PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan pada 11 Mei ini susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.
Kee Hiong, 58, menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013, meninggal dunia akibat kanser.
Dalam perkembangan berkaitan, Barisan Nasional (BN) secara prinsipnya bersetuju menyokong PH mempertahan kerusi berkenaan.
BACA LAGI: PRK Kuala Kubu Baharu ditetapkan 11 Mei 2024 – SPR
Pengerusi BN Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din berkata, parti komponen BN tidak akan meletakkan calon mereka pada pilihan raya itu selari kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam satu majlis baru-baru ini, selepas mengambil kira kerusi DUN berkenaan yang sebelum ini disandang PH.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, menjelaskan diperingkat parti itu, soal siapa calon akan diletakkan sebagai mewakili Kerajaan Perpaduan sama sekali tidak berbangkit.
“Peringkat kita (UMNO) tidak ada isu. Kerusi itu secara tradisi adalah milik PH. Jadi mereka yang lebih wajar untuk meletakkan calonnya,” katanya.