Tahap kesihatan PM Anwar baik, kekal cerdas walaupun sibuk – Kamil Munim
Tahap kesihatan Perdana Menteri berada dalam keadaan baik, biarpun dipenuhi jadual padat sebagai pemimpin utama negara.
Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammad Kamil Abdul Munim memaklumkan perkara itu susulan tindakan pihak tertentu mencipta naratif tidak berasas bagi tujuan menyebar fitnah apabila membangkitkan tahap kesihatan Anwar yang juga Menteri Kewangan itu.
“Sebagai antara individu yang dekat dengan Perdana Menteri, saya mengesahkan keadaan dan tahap kesihatan beliau jauh lebih baik dari sebahagian kita, meski diasak dengan jadual yang terlalu padat.
“Untuk sosok yang berusia 76 tahun seperti beliau, adalah biasa untuk kadangkala mengalami sedikit demam atau alahan.
“Namun, kecekalan, semangat, ketangkasan serta kecerdasan beliau untuk bekerja terus mengampuh, malah untuk kami yang berada di barisan staf dan yang jauh lebih muda ini untuk mengejar ‘pace’ (kepantasan) kerjanya juga kadang-kadang tertinggal,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Mengulas lanjut, Kamil menyatakan rasa kesal dengan tindakan pihak yang gemar membuat fitnah terutama ketika umat Islam baru selesai menyambut bulan suci Ramadan dan sedang meraikan Aidilfitri.
“Ruang suci ini terus dirempuh dengan hamburan politik yang berbaur fitnah dan rekayasa oleh beberapa watak yang kita sedia maklum punyai dendam yang tidak berkesudahan terhadap Perdana Menteri.
“Ini ternyata mendukacitakan tatkala Islam melarang serta mencegah umatnya dari sebarang unsur fitnah, serta Islam bertegas keras bahawa memfitnah mana-mana insan adalah umpama membunuh insan tersebut.
“Lebih parah, naratif longkang dan rendah akal ini diperpanjang oleh sebilangan pendukung gerombolan yang mahu menegakkan Islam” katanya.
BACA LAGI: PM Anwar bakal hadiri rumah terbuka Aidilfitri Madani di enam negeri – Shamsul Iskandar
Sementara itu Muhammad Kamil menegaskan, sungguhpun dilempar dengan pelbagai fitnah, Anwar tidak berganjak dari tekadnya untuk merubah negara dan perubahan itu satu proses yang mesti ditelan meski memakan masa dan menerima kecaman.