Global

Wisma Putra sahkan tiada rakyat Malaysia terbabit nahas kereta kabel di Turkiye

Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit nahas kereta kabel di Antalya, Turkiye pada Jumaat

Wisma Putra berkata Kedutaan Besar Malaysia di Ankara dan Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul sedang memantau rapi nahas kereta kabel itu yang mengakibatkan seorang terkorban, 10 orang lagi cedera dan lebih 100 orang terperangkap di sepanjang talian kereta kabel itu.

“Kedutaan Besar Malaysia di Ankara sedang giat menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut,” kata Wisma Putra.

Media melaporkan usaha sedang dijalankan untuk menyelamatkan 184 orang yang terperangkap dalam kereta kabel membawa pelancong dari pantai Konyaalti ke restoran dan platform tinjau di puncak Tunektepe setinggi 618 meter.

Berdasarkan maklumat di laman web, kereta kabel itu mempunyai 36 kabin dengan setiap satu boleh memuatkan enam orang.

Insiden dipercayai berpunca apabila tiang yang menyokong laluan kereta kabel tersebut tumbang menyebabkan kereta kabel ‘tergantung’ di sisi gunung berbatu.

BACA LAGI: Kuala Lumpur di kedudukan ke-73 bandar raya terpintar dunia – IMD

Sementara itu Wisma Putra menggesa rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Ankara di alamat Koza Sokak No. 56, Gaziosmanpasa Cankaya, Ankara, atau di talian 00 (90-312) 44635 47 / 48 00 (90-5078128406) (telefon bimbit) atau e-mel: [email protected].

Mereka juga boleh menghubungi Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia Istanbul di alamat Esentepe Mah. Ali Kaya Sok. No: 1/1B, Polat Plaza, B Blok, Kat 8, Levent/Sisli, Istanbul atau melalui talian 00 (90-212) 989 10 01 atau e-mel: [email protected].

Related Articles

Back to top button