Kerajaan pantau kesan konflik Timur Tengah terhadap Malaysia – PM Anwar
Kerajaan akan memantau rapat perkembangan di Timur Tengah susulan serangan dilancarkan Iran terhadap Zionis Israel.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan melihat kesan konflik itu kepada kedudukan pasaran kewangan, termasuk potensi dampak ke atas Malaysia sekaligus bertindak dengan bijaksana bagi memperkukuh kestabilan ekonomi dan kewangan negara.
“Kerajaan juga mengambil kira sebarang faktor yang mungkin memberi kesan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Kenyataan itu menyusul mesyuarat khas didakan petang semalam bagi membincangkan situasi terkini di rantau Timur Tengah
Mesyuarat khas itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta pegawai tertinggi kerajaan.
Sementar itu Anwar menegaskan serangan dilancarkan Iran adalah tindak balas dari serangan biadab Zionis Israel ke atas kedutaan Iran di Damsyik, Syria baru-baru ini.
Bagaimanapun tegasnya, Malaysia berpendirian agar semua pihak harus memainkan peranan untuk memastikan ketegangan tidak terus memuncak demi kepentingan dan keamanan sejagat.
“Semua pihak mesti berusaha untuk mencapai penyelesaian dengan menamatkan pertelingkahan di rantau terbabit,” katanya.
BACA LAGI: Malaysia kecam serangan Israel terhadap bangunan konsulat Iran di Syria
Dalam pada itu Anwar berkata, Malaysia kekal teguh dengan pendiriannya untuk bersama dengan warga Palestin yang terus menanggung derita dari kemelut ini.
“Sekarang adalah ketikanya untuk semua pihak memainkan peranan dalam mendesak untuk menamatkan ketegangan,” tambahnya.