Semasa

Banjir di Selangor, Negeri Sembilan terkawal, tiada penduduk dipindahkan

Hujan lebat yang melanda pantai Barat semenanjung petang Selasa menyebabkan beberapa kawasan di Selangor dan Negeri Sembilan dinaiki air.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya telah menggerakkan anggota berserta beberapa aset ke lokasi terlibat iaitu diKampung Melayu Subang dan Kampung Kubu Gajah bagi memantau situasi.

Pemantauan di lokasi kejadian mendapati kawasan terbabit dinaiki air antara 0.3 meter (m) hingga 0.6 m dan keadaan adalah terkawal.

”Banjir berlaku akibat limpahan sungai berhampiran dan ketika ini paras air menunjukkan trend menurun.

“Keadaan adalah terkawal dan tiada pemindahan mangsa dilakukan bagi kedua-dua lokasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Awal hari ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat melanda seluruh Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka sehingga 6 petang.

BACA LAGI: Jabatan Alam Sekitar pantau kualiti udara, air susulan kebakaran bahan kimia di Seremban

Banjir kilat turut melanda Seremban di Negeri Sembilan dengan perkhidmatan KTM Berhad dilapor terjejas.

Sekretariat Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan memaklumkan antara kawasan terjejas di Seremban ialah Kampung Ismail, Kampung Semarak, Blok B dan C Ampangan, Kampung Jiboi, Taman Happy, Kampung Batu 3 dan Kampung Kuala Sawah.

“Di Rembau, banjir kilat berlaku di Kampung Titian Bintangor.

“Setakat ini tiada pusat pemindahan sementara dibuka bagi menempatkan mangsa terjejas,” kata APM melalui satu kenyataan.

Sekretariat itu turut memaklumkan, trend air di beberapa kawasan juga ketika ini menunjukkan peningkatan, bagaimanapun APM sedang melakukan pemantauan di kawasan berisiko.

Related Articles

Back to top button