Umum

Pemimpin Pas ucap terima kasih kepada PM Anwar, satukan keluarga Nadir Al-Nuri

Peranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan membawa keluar keluarga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dari Gaza amat dihargai.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, usaha yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim telah membolehkan Muhammad Nadir disatukan semula dengan keluarganya selepas berpisah selama enam bulan.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, hubungan baik Anwar dengan Mesir membolehkan keluarga Muhammad Nadir dibawa keluar dari wilayah yang teruk diserang Israel dengan selamat.

“Terima kasih atas kesungguhan dan usaha Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) memastikan keluarga saudara Nadir An-Nuri disatukan semula, tentu sekali ia memerlukan kepada perbincangan dan hubungan baik dengan Mesir khususnya bagi memastikan misi ini berjaya.

“Tahniah kepada saudara Nadir, tentunya ini hadiah hari raya yang paling berharga untuk beliau,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

Muhammad Nadir semalam mendedahkan, Anwar merupakan watak utama dalam ‘misi gila’ membawa keluarganya keluar dari Gaza.

Menerusi hantaran di Facebook miliknya, kisah bermula apabila beliau sempat maklumkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby bahawa keluarganya terkandas di Rafah.

Beliau kemudian di hubungi Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi dan akhirnya disatukan dengan keluarganya.

Terdahulu, Anwar Ibrahim menzahirkan kesyukuran kerana Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, dapat bersatu semula dengan keluarganya.

“Alhamdulillah, keluarga saudara Nadir berjaya disatukan,” kata Anwar

Kegembiraan itu dikongsikan Anwar dalam hantarannya di Facebook sebagai membalas hantaran media sosial Muhammad Nadir yang mendedahkan beliau telah disatukan semula dengan keluarganya susulan satu ‘Misi Gila’ dilaksana kerajaan bagi membawa keluar keluarganya dari wilayah bergolak Gaza.

Muhammad Nadir dalam catatan ‘183 Hari Yang Panjang’ menerusi hantaran di akaun Facebook serta Instragram beliau malam tadi telah mendedahkan Anwar adalah individu penting yang memainkan peranan utama dalam misi sukar tersebut.

Related Articles

Back to top button