Semasa

PM Anwar dalang ‘Misi Gila’ bawa keluarga Nadir Al Nuri pulang Malaysia

Aktivis kemanusiaan, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman tidak menyangka panggilan telefon yang diterima sehari sebelum Aidilfitri membawa berita gembira buat dirinya.

Doanya untuk bertemu kembali keluarga terutama anak-anaknya yang terpisah lebih 200 hari ekoran konflik di Gaza berakhir apabila mereka dapat bertemu semula.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) itu berkata, anaknya berjaya dibawa pulang ke Malaiysia melalui satu ‘Misi Gila’ dilakukan oleh kerajaan.

“Saya bersama sahabat merangkap kekanda kami, (Dr) Sani Araby (Ketua Pegawai Eksekutif) Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) diberikan peluang bertemu watak utama misi menyelamat bulan lalu di satu majlis di Shah Alam, beberapa hari sebelum beliau ke Berlin.

“Dalam ramainya orang, sempat saya maklumkan keluarga terkandas di Rafah,” katanya.

Muhammad Nadir mendedahkan, individu yang ditemuinya adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

Walaupun pada mulanya beliau berkata ‘hatinya luluh’ dengan reaksi daripada ‘watak utama’ terbabit, tetapi siapa sangka individu berkenaan secara diam berunding membawa pulang keluarganya yang terkandas di Rafah.

“Beliau hanya sempat membelek kiriman kami, memberikan respon ringkas ‘saya akan bantu’ dan terus menaiki kenderaannya memecut ke majlis seterusnya.

“Hati saya mula luluh, mungkin itu bahasa orang politik saja. Saya langsung tawakal dan dan serahkan segala-galanya kepada Allah,” katanya yang berkongsi perkara itu di Facebook.

Namun tambahnya, sehari sebelum Aidilfitri beliau dihubungi oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri iaitu Ahmad Farhan Fauzi yang memintanya hadir di sebuah lokasi rahsia.

“Saat sampai ada kenderaan hitam menanti. Alangkah terkejutnya saya saat pintu dibuka, saya diterpa anakanda yang selalu hadir dalam mimpi sekian malam.

“Air mata seorang ayah sudah bertakung tak mampu menahan kerinduan,” katanya.

BACA LAGI: Malaysia akan terus bersama Palestin – Fadhlina

Melalui hantaran tersebut, Muhammad Nadir merakamkan jutaan rasa terima kasih kepada Perdana Menteri susulan ‘Misi Gila’ tersebut.

Penghargaan sama turut dizahirkan kepada PMO (Pejabat Perdana Menteri) dan semua pihak yang menjayakan usaha ini sama ada secara langsung mahupun mendoakan mereka.

“Kami sekeluarga mengucapkan jutaan terima kasih yang tak terhingga. Semoga Allah sahaja membalas jasa kalian semua,” katanya.

Related Articles

Back to top button