Semasa

Kejayaan bawa keluar keluarga Nadir Al-Nuri dari gaza bukti kebijaksanaan PM Anwar

Kesungguhan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggerakkan ‘Misi Gila’ untuk membawa keluar keluarga aktivis kemanusiaan, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman membuktikan keprihatinan tinggi Perdana Menteri kepada soal kebajikan rakyat.

Tidak sekadar itu, kejayaan menyatukan semula keluarga yang terpisah hampir 200 hari itu juga telah menzahirkan kebijaksanaan kepimpinan Anwar yang cukup dihormati dunia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesungguhan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sehingga berjaya menyatukan keluarga Saudara Nadir Al-Nuri,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Nadir Al-Nuri yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia melalui catatannya bertajuk ‘183 Hari Yang Panjang’ di media sosial mendedahkan telah bersatu kembali dengan keluarganya yang sebelum ini terperangkap dalam konflik di Gaza.

Beliau turut mendedahkan Anwar merupakan individu penting yang memainkan peranan utama dalam misi membawa keluar keluarganya dari Gaza, saat wilayah Palestin itu diserang tentera Israel.

Beliau menyifatkan misi membawa keluarganya dari Gaza itu sebagai ‘misi gila’, kerana Gaza berdepan bedilan roket dan hentaman bom bertali-arus di Gaza, selain berlaku ketegangan di sempadan yang berlanjutan.

Nadir Al Nuri kagum dengan diplomasi dimainkan PM Anwar

Sementara itu Mohd Na’im melalui kenyataanya menyeru semua pihak untuk terus bersama-sama dengan Perdana Menteri bagi menyatakan solidariti kepada perjuangan menuntut keamanan dan kesejahteraan negara Palestin.

“Marilah bersama-sama dengan keberkatan bulan Syawal ini, kita memperkukuh kesatuan dan berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan kesejahteraan dan keberkatan buat rakyat Palestin,” katanya.

Related Articles

Back to top button