Negeri

KKM tubuh jawatankuasa,rangka mekanisme bangun semula klinik kesihatan di Sarawak

Satu jawatankuasa bagi merangka mekanisme bagi pembangunan semula klinik-klinik kesihatan di Sarawak telah ditubuhkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata penubuhan jawatankuasa itu dimaklumkan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni kepadanya melalui satu perbincangan tidak formal pada Isnin.

Menerusi mekanisme itu jelasnya, kerajaan Sarawak akan mengeluarkan peruntukan terlebih dahulu untuk membiayai kos pembangunan semula ini, bagi mempercepatkan pelaksanaan projek berkenaan.

“Kita sudah ada satu mekanisme pembayaran ganti dari kerajaan pusat. Kita ada jawatankuasa di peringkat pegawai yang akan mengendalikannya.

“Saya rasa hujung bulan ini kita akan mula (melaksanakannya),” katanya ketika ditemui pemberita di Kuching pada Selasa.

BACA LAGI: PM gesa kementerian pastikan kelancaran projek kesihatan, sekolah daif di Sarawak

Pada 30 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Sarawak menjadi kerajaan negeri pertama yang membiayai terlebih dahulu projek persekutuan di negeri itu, bagi mempercepat pelaksanaannya.

Di bawah kaedah itu kerajaan Persekutuan akan membayar balik kemudian kepada kerajaan Sarawak, jumlah kos bagi penyiapan projek-projek berkenaan.
.

Related Articles

Back to top button