Politik

Lim Sian See ingatkan Rafizi mengenai jemputan ke podcast ‘Yang Bakar Menteri’

Pempengaruh media sosial, Lim Sian See mengingatkan kembali Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli mengenai jemputan untuk muncul dalam podcast beliau ‘Yang Bakar Menteri’ (YBM) seperti yang dicadangkan beliau sendiri sebelum ini.

Lim berkata, Rafizi dalam satu ciapan di X memberitahu untuk menunggu selepas Ramadan.

Katanya, sambutan Hari Raya Aidilfitri sudah berakhir dan Rafizi sepatutnya sudah menetapkan tarikh.

Lim turut mempersoalkan tarikh untuknya hadir sebagai tetamu podcast YBM sekali gus berdebat dengan Rafizi yang bersedia berdepan dengan ‘orang kuat’ bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu.

“Bila boss?” soalnya ringkas pada hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Pada Mac lalu, Rafizi membidas Lim yang mempersoalkan mengapa beliu ‘bertangguh’ dalam menetapkan pertemuan podcast antara mereka.

“Lim Sian See ni ada sedikit ‘entitlement’. (Dia ingat) dialah manusia paling penting dalam dunia ni, sebab dia orang penting kem Najib (Razak) dulu.

“Saya baru dua minggu spinal operation pun tak penting, asal kena layan dia sebab dialah orang paling penting dalam dunia ni,” sindir Rafizi dalam ciapan di platform media sosial X.

Dalam catatan tersebut, beliau meminta Lim menunggu sehingga Ramadan tamat kerana bulan berkenaan dipenuhi oleh umat Islam untuk beribadat.

Rafizi telah memulakan program bual bicara podcast YBM atau ‘Yang Bakar Menteri’ pada Disember tahun lalu yang akan memberi peluang kepada sesiapa sahaja bersemuka dengannya.

Beliau berkata, peluang bersemuka di podcast yang dirakam pada sebelah malam itu bertujuan memberi peluang kepada sesiapa sahaja bersemuka dengan beliau tanpa menggunakan peruntukan.

Ini kerana, katanya, kemunculan di televisyen menggunakan wang rakyat apabila melibatkan ‘air time’.

Related Articles

Back to top button