ekonomi

Pelan strategi dirangka, kerajaan pastikan Malaysia jadi destinasi industri semikonduktor

Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bilangan 3 tahun 2024 pada Selasa setuju agar Pelan Strategik Semikonduktor secara menyeluruh diwujudkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan merangka pelan strategik itu bagi memastikan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pelaburan terpilih bagi industri bagi industri semikonduktor.

“Sayugia, hal ini penting bagi menarik minat pelbagai syarikat semikonduktor antarabangsa untuk menubuhkan fasiliti pembuatan semikonduktor berkualiti tinggi di Malaysia.

“Pelan Strategik ini akan turut meliputi pakej insentif yang lebih menarik bagi mempertingkatkan kemasukan pelaburan strategik dalam semikonduktor berteknologi tinggi, khususnya bagi menggalakkan lebih banyak aktiviti front-end dalam industri semikonduktor di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Anwar sementara itu memaklumkan, mesyuarat itu yang dipengerusikannya turut meneliti kedudukan semasa dan prospek masa hadapan negara bagi industri semikonduktor.

BACA LAGI: PP sedia jadi pemangkin sektor elektronik, semikonduktor rantau ini – Ketua Menteri

“Mesyuarat juga telah meneliti cadangan pembangunan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) dan bersetuju ianya dilaksanakan secara usaha sama oleh syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan (GLIC) dengan kerjasama Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Perak.

“Ini merupakan titik tolak kepada usaha Kerajaan MADANI untuk mempercepatkan pembangunan KIGIP, yang dilihat sebagai salah satu pemangkin utama bagi menarik pelaburan hijau ke dalam negara sementelahan pengoperasiaan KIGIP akan dijana sepenuhnya dengan Tenaga Boleh Baharu (TBB) selaras dengan aspirasi negara ke arah mencapai neutral karbon seawal 2050,” ujarnya lagi.

Related Articles

Back to top button