Semasa

Rumah terbuka: KPKM jamin bekalan asas cukup

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberikan jaminan bahawa bekalan makanan asas adalah mencukupi bagi menampung permintaan sepanjang sambutan syawal.

Melalui satu kenyataan kementerian itu menyatakan keyakinan pengeluaran domestik komoditi makanan utama negara oleh para petani, pesawah, peladang, penternak dan nelayan mampu menampung permintaan.

Bagi bekalan komoditi makanan yang terhad pengeluaran domestiknya pula, ia ditampung melalui pengimportan bekalan untuk keperluan pengguna di pasaran.

“Rumah terbuka sepanjang Syawal merupakan kelaziman bagi rakyat Malaysia dan tradisi ini bukan sahaja dianjurkan oleh individu serta keluarga, malah turut dianjurkan oleh sektor awam, korporat, perniagaan, komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Oleh itu, jumlah penggunaan bekalan makanan asas dalam kuantiti yang besar diperlukan sepanjang tempoh tersebut,” jelas KPKM pada Selasa.

BACA LAGI: PM Anwar meriahkan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani Peringkat Kebangsaan 20 April ini

Tambah kementerian itu lagi, sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap keterjaminan bekalan makanan negara, pihaknya akan terus memberikan perhatian terhadap lapan komoditi makanan utama yang ditetapkan dalam Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) iaitu beras, ayam, telur, daging, sayur-sayuran, buah-buahan, makanan laut dan susu segar.

Kebolehcapaian komoditi makanan utama pula akan disokong oleh outlet pemasaran di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), selain pasar raya dan kedai runcit di seluruh negara bagi memastikan bekalan tidak terputus.

“Dalam masa yang sama, KPKM menggalakkan amalan penggunaan bekalan makanan mengikut keperluan bagi mengelakkan sebarang bentuk pembaziran, khususnya dalam tempoh penganjuran rumah terbuka,” kata kenyataan itu.

Related Articles

Back to top button