Subsidi bersasar: KPKM adakan sesi libat urus, kenal pasti golongan sasar
Sesi libat urus bersama pihak berkepentingan sedang dilaksana Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam usaha mengenal pasti golongan sasar yang akan terbabit dalam pelaksanaan penyaluran subsidi secara bersasar.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penelitian secara terperinci perlu dilaksana bagi memastikan subsidi disalurkan kepada golongan sasar yang selayaknya.
Langkahh itu sekali gus memastikan peruntukan kerajaan dapat dibelanjakan secara efisien.
“KPKM sentiasa menyokong hasrat kerajaan dalam usaha untuk melaksanakan penyaluran subsidi secara bersasar,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Terdahulu beliau menghadiri Mesyuarat Skim Kawalan Subsidi (SKD) 2.0 secara dalam talian bersama Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di Wisma Tani, Putrajaya.
BACA LAGI: YDPA sokong langkah penjimatan oleh kerajaan, termasuk melalui subsidi bersasar
Menurut Mohamad Sabu, sesi libat urus itu membabitkan pemain industri daripada sektor tanaman, ternakan, perikanan dan penyediaan perkhidmatan pertanian di bawah kementerian itu.
Pada 2 Januari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bagi menjamin penyelarasan subsidi serta bantuan lebih adil selain mengelakkan ketirisan dalam pemberian bantuan dan subsidi.
Pengenalan sistem subsidi bersasar itu adalah selaras dengan pendekatan transformasi digital negara dengan jaminan setiap kemudahan kerajaan akan dinikmati penerima yang berhak.