Sukan

Tunku Ismail berkenan derma rumput hibrid kepada Stadium Nasional Bukit Jalil

Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim akan mendermakan rumput jenis hibrid bagi kegunaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik menerusi akaun Facebook Johor Southern Tigers, inisiatif itu dititahkan oleh baginda selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Datuk Seri Windsor John.

“Hasil kaji selidik yang dijalankan di padang SNBJ telah menunjukkan bahawa rumput hibrid lebih memenuhi keperluan stadium pelbagai guna kerana ketahanan dan fleksibilitinya sesuai untuk acara sukan serta bukan sukan.

“Berdasarkan hasil kaji selidik tersebut dan kejayaan penyelidikan yang dijalankan oleh kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) di Larkin, Tunku Ismail akan mendermakan rumput jenis hibrid yang sedang ditanam di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos kepada Stadium Nasional,” kata hantaran berkenaan.

Sementara itu, rumput Zeon Zoysia yang didermakan oleh Tunku Ismail kepada SNBJ sebelum ini, akan dibuka dan dipasang di padang Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil.

“Padang tersebut (MSN) sering digunakan oleh Sekolah Sukan Bukit Jalil dan pasukan-pasukan bola sepak negara,” menurut hantaran itu.

Ini merupakan kali kedua Tunku Ismail yang juga pemilik JDT, membantu Stadium Nasional selepas menghadiahkan rumput Zeon Zoysia yang ditanam awal tahun lepas menggantikan rumput jenis Cow Grass.

Related Articles

Back to top button