Kekejaman Israel sudah atasi Hitler, bunuh lebih 14,000 kanak-kanak – Erdogan
Dengan membunuh lebih 14,000 kanak-kanak tidak berdosa di Gaza, Israel mengalahkan pemimpin Nazi Adolf Hitler, kata Presiden Turki pada Rabu.
Dengan sokongan tanpa syarat dari Barat, Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai yang merupakan aib dalam sejarah manusia, baik di Gaza dan Tebing Barat, kata Recep Tayyip Erdogan dalam mesyuarat kumpulan Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) di Parlimen Turki, lapor Agensi Anadolu.
Dengan mengatakan tiada siapa boleh mempersoalkan sensitiviti Turki terhadap isu Palestin, Erdogan berkata, perjuangan Palestin memberikan makna baharu dalam hidupnya.
“Selagi Allah memberikan saya nyawa, saya akan terus mempertahankan perjuangan Palestin dan menjadi suara rakyat Palestin ditindas,” katanya.
Membandingkan perjuangan kumpulan penentang Palestin Hamas dengan Perang Kemerdekaan Turki lebih 100 tahun lalu, Erdogan berkata: “Kami sedar ada harga perlu dibayar untuk mengatakan ini.”
Katanya, 15 tahun lalu di Forum Ekonomi Dunia 2009 di Davos, Switzerland, beliau mencabar kepimpinan Israel dan penindasannya terhadap rakyat Palestin, dalam pertemuan yang menjadi viral dengan membantah “Satu minit!”
“Apabila tidak ada orang lain yang bercakap, kami berdiri dan berkata: ‘Hamas bukan organisasi pengganas, tetapi kumpulan penentang.’ Kami membentangkan peta di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menunjukkan bagaimana Israel secara beransur-ansur menduduki tanah Palestin sejak 70 tahun lepas.
“Kami menyokong saudara dan saudari Palestin kami dalam semua cara, terutamanya pada masa-masa paling sukar. Kami menggerakkan semua sumber kami untuk Palestin, penduduk Gaza tertindas,” tegas Erdogan.
Beliau mengulangi tekad Turki untuk mempertahankan perjuangan Palestin bagi mencapai kemerdekaan dalam apa jua keadaan.
Serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober 2023, mengorbankan hampir 34,000 rakyat Palestin dan mencederakan hampir 77,000 yang lain, menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.
Dalam pada itu, Erdogan berkata, beliau akan menjadi tuan rumah kepada pemimpin kumpulan pejuang Palestin Hamas, Ismail Haniyeh, hujung minggu ini.
“Pemimpin perjuangan Palestin akan menjadi tetamu saya hujung minggu ini,” katanya.
Walaupun tidak menyebut lokasi pertemuan itu, seorang pegawai kanan Turkiye berkata, kedua-dua pemimpin berkenaan dijangka akan mengadakan perbincangan pada Sabtu ini di Istana Dolmabahce, di Istanbul.