Kerajaan sedang rangka RUU baharu, tingkat tahap keselamatan di pintu masuk negara
Satu rang undang-undang (RUU) baharu bagi meningkatkan tahap keselamatan di semua pintu masuk negara bakal diwujudkan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil dalam satu sidang media pada Rabu berkata, RUU itu sedang dirangka oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membolehkan satu agensi penyelaras mengawal selia pintu masuk negara.
“Kita jangka dalam masa yang tidak terlalu lama KDN akan membawa satu RUU supaya ada satu agensi penyelaras antara beberapa agensi terlibat untuk mengawal selia pintu masuk negara… ia akan mempunyai punca kuasa dari segi undang-undang untuk mereka beroperasi dengan kuasa secukupnya.
“Perkara ini ada dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini,” katanya.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi sebelumnya menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan di Putrajaya.
BACA LAGI: Kerajaan sasar bentang RUU anti-Ali Baba hujung tahun ini
Pada sidang media tersebut beliau ditanyakan apakah mesyuarat tersebut membincangkan insiden tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada Ahad lalu yang mencederakan seorang individu.
“Memandangkan pihak berkuasa telah memberikan kenyataan khususnya Ketua Polis Negara (Tan Sri Razarudin Husain) maka Jemaah Menteri melihat ia adalah menyeluruh dan kita serahkan kepada pihak berwajib,” katanya.
Walau bagaimanapun jelasnya, aspek keselamatan di semua pintu masuk negara sentiasa diutamakan bagi menjamin tahap keselamatan dan mengekang sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.