Nasional

Kerajaan setuju pertimbang salur peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang – Fadillah

Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk mempertimbang penyaluran peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang, kata Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Dalam satu kenyataan media, beliau yang juga Ketua Whip Kerajaan Perpaduan berkata, perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang berlangsung semalam (Rabu), di Putrajaya.

Beliau berkata, kerajaan kini dalam proses merangka satu draf memorandum persefahaman (MoU) terlebih dahulu.

“Ke arah itu, satu MoU akan dirangka terlebih dahulu dan akan dipanjangkan kepada pihak pembangkang sebagai langkah perundingan seterusnya.

“Perkara ini dipersetujui dalam mesyuarat lebih satu jam yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta dihadiri oleh pemimpin tertinggi parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan,” kata beliau lagi.

Pada 19 Mac lalu, Fadillah dipetik oleh media sebagai berkata, pemimpin-pemimpin dari blok Perikatan Nasional (PN) sudah berjumpa dengannya di Parlimen bagi membincangkan isu peruntukan wakil rakyat.

Dalam pertemuan tersebut, beliau berkata, pemimpin pembangkang menyerahkan kepada kerajaan untuk sebarang syarat bagi menyalurkan peruntukan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan sebelum ini secara prinsipnya bersetuju untuk memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang seperti yang diberikan kepada Ahli Parlimen kerajaan.

Bagaimanapun, tegas Perdana Menteri, ia perlu dimulakan dengan proses rundingan oleh kedua-dua pihak terlebih dahulu untuk membincangkan kaedah yang terbaik selain mencari titik persefahaman.

Related Articles

Back to top button