Semasa

PJD Link dibatalkan, kerajaan digesa fokus tangani isu kesesakan

Ahli Parlimen Petaling Jaya menggesa tumpuan diberikan bagi menangani isu kesesakan jalan raya terutama di lembah Klang.

Lee Chean Chung membuat gesaan itu melalui satu kenyataan pada Rabu susulan keputusan jemaah menteri untuk tidak meneruskan projek pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD Link).

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Parti KEADILAN berkata, salah satu sebab utama PJD Link dicadangkan adalah untuk mengatasi masalah kesesakan teruk di sekitar Petaling Jaya dan Lembah Klang, namun ia menerima bantahan daripada penduduk setempat kerana dianggap bukan penyelesaian pokok kepada kekangan pergerakan dihadapi rakyat di Lembah Klang.

Tambahnya, walaupun kerajaan telah membelanjakan berbillion-billion untuk membina Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter, transit aliran ringan (LRT) dan transit aliran massa (MRT) namun, masalah kesalinghubungan masih dalam tahap yang teruk dan masih kurang tindakan jelas diambil untuk menyelesaikan masalah timbul selama ini.

“Masalah kesesakan lalu lintas berpunca daripada sistem pengangkutan awam kurang lengkap, perhubungan batuan pertama dan terakhir yang tidak rapi serta perancangan bandar tidak mengutamakan bas, e-skuter, basikal dan pejalan kaki.

“Melihat kepada keadaan kesesakan yang kian buruk, saya berpendapat bahawa kerajaan perlu bertindak sekarang sebelum situasi menjadi lebih mudarat,” ujarnya melalui kenyataan tersebut.

Terdahulu, jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan projek PJD Link selepas pemegang konsesinya, gagal memenuhi enam daripada 11 syarat yang ditetapkan.

BACA LAGI: Kerajaan komited cari cara selesai kesesakan di ibu kota – Menteri Wilayah

PJD Link dirancang untuk menghubungkan utara dan selatan Petaling Jaya, melalui Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, pusat bandar Petaling Jaya, Taman Dato’ Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara dan Taman Teknologi Bukit Jalil.

Februari lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari meminta pemaju lebuh raya itu merundingkan semula jajaran projek tersebut dengan kerajaan persekutuan.

Kerajaan Negeri tegasnya telah menerima laporan yang menunjukkan penduduk Taman Medan dan Kinrara menyokong lebuh raya itu, tetapi penduduk di kawasan lain menolaknya.

Dalam pada itu, Chean Chung menyokong keputusan kerajaan dan menyifatkan Kerajaan Perpaduan telah memberi jawapan jelas iaitu menolak permohonan tersebut.

Related Articles

Back to top button